HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2018

Polis akan panggil penganjur himpunan tuntut janji PTPTN

MALAYSIAKINI

Polis akan memanggil penganjur Himpunan Tuntut Janji Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diadakan di Menara PTPTN di Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata penganjur himpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) telah melakukan kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Tiada notis diberi dan penganjur akan diambil tindakan dibawah APA 2012,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Kira-kira 100 mahasiswa yang menyertai himpunan itu telah berarak sejauh tiga kilometer menuju ke Menara PTPTN di Kuala Lumpur.

Tinjauan Bernama mendapati berlaku kesesakan susulan kumpulan ini berarak dan tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan melawan arus.

Sementara itu, Presiden Gamis Muhammad Faizzuddin Mohd Zai turut mendesak Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan meletak jawatan.

“Beliau (Wan Saiful) perlu letak jawatan kerana tidak laksanakan janji berkaitan PTPTN dalam manifesto ,” katanya.

Pada 17 Nov lepas, Wan Saiful dilaporkan berkata agensi itu tidak mampu menunaikan janji menangguhkan pembayaran balik bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 kerana tidak mahu menjadi seperti ‘menang sorak, kampung tergadai’.- Bernama


Tiada ulasan: