HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 November 2018

Anut dan promosi Syiah dua perkara berbeza - Mujahid

MALAYSIAKINI

   

Meskipun ajaran Syiah difatwakan sesat di negara ini, garis panduan perlu ditentukan bagi menjunjung kebebasan beragama seperti termaktub dalam perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata perlu ada garis yang membezakan antara mereka yang sekadar menganut Syiah dan yang menganut serta mempromosikan fahaman itu.

“Ada dua (isu) dalam hal ini, pertama semua fahaman Syiah itu (difatwakan) sesat. Kedua ialah fatwa yang menyatakan amalan orang Malaysia Islam ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Tetapi adakah hanya kerana menjadi Syiah maka kita boleh mengambil tindakan? Ataukah dengan menjadi Syiah dan dia mempromosi Syiah, itu dua benda yang berbeza,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor semalam yang mengatakan fatwa menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam boleh disemak semula.

Menurut Wan Salim, ini berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira konsensus mengenainya hanya bertentangan dengan fahaman ASWJ.

Mujahid berkata artikel 11 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan kebebasan beragama, namun ia tertakluk kepada sekatan oleh Perkara 11 (4) yang bertujuan mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

"Jadi itulah yang perlu diletakkan garis panduan antara hak menganut apa-apa agama dan fahaman, dengan (jika) dia mempromosikan,” kata Mujahid.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: