HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 November 2018

Bilangan pelancong menurun? Pemain industri cadang tubuh Lembaga Pelancongan Langkawi

Bernama
Bilangan pelancong menurun? Pemain industri cadang tubuh Lembaga Pelancongan Langkawi
Langkawi terkenal dengan pelbagai tawaran menarik untuk mengisi agenda pelancongan. - Gambar hiasan
 
LANGKAWI: Peserta industri telah mencadangkan supaya Lembaga Pelancongan Langkawi ditubuhkan sebagai sebuah badan khusus untuk memajukan lagi industri itu di pulau peranginan ini yang kini mengalami penurunan jumlah pelancong.

Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat berkata jika cadangan itu diluluskan oleh kerajaan, lembaga tersebut akan dapat menumpukan perhatian yang khusus kepada pelancongan berbanding fungsi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sekarang.

"Kita bagi cadangan untuk menubuhkan Langkawi Tourism Board kerana dalam LADA sekarang, cuma ada satu bahagian sahaja khusus tentang pelancongan. Penekanan kepada pelancongan itu tidaklah begitu hebat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan majlis perbincangan halatuju pelancongan Langkawi bersama-sama 70 buah peserta industri di sini.
 
Tanpa menyatakan angka secara spesifik, beliau berkata jumlah pelancong yang datang ke pulau ini menurun kira-kira lima peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Kita dapati memang ada penurunan jumlah ketibaan pelancong tetapi tidaklah begitu meruncing. Kita cuba nak bendung supaya ia tidak terus menurun dan mungkin boleh menaik semula," katanya.

Juhari yang juga Timbalan Yang Dipertua DUN Kedah berkata para pengkaji pelancongan di universiti-universiti tempatan turut dialu-alukan untuk membuat kajian terperinci punca penurunan jumlah pelancong yang dihadapi di Langkawi sekarang.

Beliau berkata banyak universiti di negara ini yang menawarkan bidang pengajian pelancongan yang boleh menjalankan penyelidikan yang khusus ini bagi membantu industri berkenaan.

"Kita bolehlah mengangkat perkara ini untuk dikaji oleh pihak universiti dan kita juga minta cadangan daripada pihak universiti bagaimana kita dapat meningkatkan lagi pelancongan di Langkawi ini," katanya.

Menurutnya kesemua input yang diperoleh daripada perjumpaan yang berlangsung kira-kira tiga jam itu akan disusun semula bagi membentuk satu pelan tindakan yang akan digerakkan bermula tahun depan.

Katanya maklum balas yang diperoleh daripada perjumpaan ini juga akan diperhalusi untuk dibincangkan dengan Perdana Menteri dan Anggota Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: