HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2018

MIC tawar tampung perubatan, guaman mangsa kuil

Kasthuri Jeevendran
 
 xMIC1-681x426


KUALA LUMPUR – Prihatin dengan insiden rusuhan sehingga mengakibatkan pelbagai isu di kuil Seafield Sri Maha Mariamman, MIC tampil menawarkan bantuan guaman serta wang perubatan bagi membantu pihak berkaitan.

Antara yang akan dibantu termasuk warga kuil, penganut, belia dan warga beruniform yang memerlukan bantuan tidak kira kaum dalam kejadian rusuhan di kuil di Subang Jaya itu.

Menurut Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan, pihaknya juga dalam proses mengkaji bagi mengambil tindakan terhadap pemaju yang dipercayai telah mengarahkan peguam mereka mencerobohi kawasan kuil sehingga berlaku rusuhan dan insiden ganas awal Isnin lepas.

“Kita juga akan membantu membayar wang perubatan mangsa-mangsa yang cedera kerana rata-rata mereka tidak mampu untuk membyar bil mereka.

“Pada masa yang sama, kita juga akan bantu mereka yang terkesan dengan perkara ini untuk mengambil tindakan sivil yang jelas sekali berkaitan dengan pemaju dan peguam-peguamnya.

“Ada juga yang terlibat dengan rusuhan tempoh hari telah ditangkap pihak berkuasa, kita akan bantu mereka juga. Jika ada keperluan, yang beruniform juga akan bantu bekalkan khidmat guaman secara percuma.

“Semua ini untuk semua kaum bukan tertakluk hanya untuk kaum India sahaja, ini adalah satu kejadian keganasan yang boleh dielakkan namun berlaku kerana kepentingan serta cita-cita tinggi segelintir pihak,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

MIC mengambil keputusan ini sejurus selepas pendedahan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata sekumpulan ‘gengster’ telah di upah antara RM150 hingga RM300 untuk melakukan rusuhan di kuil tersebut.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menambah, pemaju serta peguam mereka telah melakukan kesalahan serius sehingga mewujudkan ketegangan kaum sejak beberapa hari lepas.

“Bayangkan, struktur kuil rosak, penganut di gangu, gertak dan di serang sehingga ada yang serius di hospital, melibatkan polis hingga tangkapan di lakukan, berlakunya keadaan rusuhan tidak terkawal dan ketegangan kaum.

“Kita akan dapatkan ganti rugi untuk semua ini, kita sudah sediakan seramai tujuh barisan peguam yang akan bantu mengkaji kes ini dari semua aspek dan mendalam.

“Ini dilakukan atas dasar kemanusian dan keprihatin yang telah wujud sejak dulu lagi, kita letak tepi soal publisiti atau isu-isu lain, kita bantu dulu mangsa-mangsa ini mendapatkan keadilan selain daripada memberi mesej jelas tiada kompromi dalam isu seperti pada masa hadapan,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Sidang media wakil kuil Seafield


Tiada ulasan: