HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2018

ICERD: KERAJAAN PH TUNDUK DESAKAN UMNO, PAS




Setelah menerima pelbagai tekanan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuktamadkan keputusan untuk tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat, kerajaan PH mendakwa mereka komited untuk mempertahankan perlembagaan negara.

“Kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD. Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak akan dipinda atau dimansuhkan sekiranya meratifikasi ICERD.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, ini kerana kerajaan tidak akan mengganggu perkara yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan untuk meratifikasi ICERD mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya orang Melayu, Islam kerana ia mencabar hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan juga kedudukan Islam.

Badan bukan kerajaan (NGO) UMMAH, UMNO dan PAS merancang untuk mengadakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka 8 Disember nanti sebagai membantah ICERD.


Tiada ulasan: