HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2018

'Tarif air Selangor lebih 2 kali ganda jika BN masih perintah'

 
   

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata sekiranya tidak berlaku pertukaran kerajaan negeri pada 2008 di Selangor, rakyat negeri itu akan menanggung tarif air lebih dua kali ganda, iaitu pada kadar RM3.15 semeter padu berbanding harga hari ini.

Sebaliknya, jelas Amirudin, kerajaan Selangor hari ini masih mengekalkan tarif air pada kadar RM1.39 semeter padu, iaitu harga pada 2006.

"Sebenarnya kalau tak berlaku pertukaran pada 2008, tarif air sekarang yang dinikmati oleh rakyat adalah pada kadar RM3.15 semeter padu.

"Kita masih kekalkan tarif pada tahun 2006 pada kadar RM1.39 semeter padu. Sebab itu Insya-Allah kalau ada kenaikan tarif, kenaikan tarif itu tak akan sampai capai cecah angka yang sebesar ini," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Dua hari lalu, bekas perdana menteri Najib Razak melalui kenyataan di Facebook mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan tarif air baharu kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Insya-Allah, kalau ada penarifan kenaikan tarif, kenaikan tarif itu tak akan sampai capai cecah angka yang sebesar ini (RM3.15 semeter padu).

"Namun begitu kita akan pastikan kelangsungan air Selangor, pengurusan Air Selangor boleh kekal menyalurkan air yang bersih dan dapat menampung dan membiayai rakyat khususnya mereka yang susah," kata Amirudin.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Amirudin menjelaskan tarif air yang boleh mencecah pada kadar RM3.15 semeter padu itu disebabkan terdapat perjanjian konsesi air pemerintahan dulu yang membabitkan kerajaan negeri, Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash), 
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Puncak Niaga Sdn Bhd.

Diminta mengulas kemungkinan kenaikan tarif air, Amirudin berkata beliau perlu mendapatkan maklum balas Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli. 

"Saya bergantung dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk bagi ‘cue’ (isyarat) bila nak naik," katanya sambil merujuk kepada Dr Xavier Jayakumar yang turut berada di sidang media tersebut.

Xavier kemudian menjelaskan bahawa beliau akan berbincang dengan semua pihak berkaitan berhubung perkara itu.

"Kita akan bagi tahu anda secepat yang mungkin,” katanya.

Tiada ulasan: