HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2018

RUMUSAN ICERD KIT SIANG DANGKAL

Wartawan Watan-Online




Kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengenai negara-negara Islam yang meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) menunjukkan kedangkalan beliau dalam memahami isu tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata kenyataan Kit Siang itu turut mendedahkan taraf pemahaman beliau mengenai asas sosio- politik di Malaysia.

Beliau turut berkata terdapat banyak artikel ICERD yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sehingga menuntut kepada penghapusan mana-mana peruntukan yang bertentangan dengan ICERD.

“Walhal, artikel-artikel yang terdapat dalam ICERD dan ICCPR banyak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Satu soalan kepada Lim Kit Siang, adakah DAP mahu merombak Perlembagaan dan menghapuskan Perkara 153 khususnya?,” soal beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata meskipun wujud kuasa untuk mengecualikan beberapa artikel dalam ICERD, namun kedaulatan negara tetap terancam berikutan ruang telah diberikan kepada kuasa luar untuk memberi tekanan.

“Terdapat beberapa negara umat Islam yang meratifikasi ICERD dan membuat pengecualian kepada beberapa artikel tertentu.

“Pengecualian yang telah dibuat oleh Arab Saudi telah dibantah keras oleh Austria, Finland, Germany, Norway, Spain dan Sweden.

“Yaman yang membuat pengecualian antaranya Artikel 5 dalam ICERD turut mendapat bantahan keras dari banyak negara antaranya Australia, Belgium, Canada, Denmark, Finland, France, Germany, Italy, Mexico, Netherlands, New Zealand, Norway, Sweden dan UK kerana merasakan pengecualian tersebut bertentangan dengan matlamat ICERD.

“Kita tidak mahu kelak, negara juga bakal dikawal oleh kuasa luar untuk menentukan apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia, ” katanya.

Terdahulu, Kit Siang dilaporkan mempersoalkan penentangan Abdul Hadi terhadap cadangan meratifikasi ICERD.

Kit Siang meminta Abdul Hadi menjelaskan mengapa 55 daripada 57 negara Islam dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kecuali Malaysia dan Brunei sudah meratifikasi ICERD.

Tiada ulasan: