HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2018

JANGAN JADI ‘MENTERI GOOGLE’ – ISHAM



Tindakan Menteri Industri Utama, Teresa Kok mencadangkan penoreh getah keluar menoreh pada musim tengkujuh jelas menunjukkan kegagalan beliau dalam menjalankan tugas sebagai menteri.

Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil menyindir Teresa dengan menasihatinya untuk belajar mendengar nasihat penjawat awam yang sudah lama mengkaji masalah penoreh dan bukan sekadar mencari idea melalui enjin pencarian di internet.

Jelas beliau, Teresa tidak memahami masalah asas penoreh di mana getah yang bercampur air hujan pada musim tengkujuh mempunyai kualiti buruk.

“Sekali-sekala YB Menteri dengarlah nasihat penjawat awam dan janganlah asyik google sahaja untuk dapatkan idea yang baru yang kononnya boleh meningkatkan produktiviti penoreh atau rakyat secara amnya.

“Mungkin YB Menteri tidak pernah pergi menoreh getah. Pada musim tengkujuh, penoreh tidak keluar menoreh sebab air hujan bercampur dengan susu getah yang menyebabkan hasil torehan tidak baik, bukan kerana penoreh ini malas dan sengaja tidak produktif dengan ambil cuti berbulan.

“…Tidak menoreh, tidak ada duit, tidak makan. Mereka perlukan pendapatan waima pada musim tengkujuh pun,” katanya sebelum menambah kerajaan lama Barisan Nasional (BN) memahami isu ini sebelum memutuskan untuk membantu penoreh melalui elaun sara hidup.

Sebelum ini dalam Parlimen, Teresa menjelaskan bahawa elaun musim tengkujuh kepada penoreh getah dipotong dan tidak akan diteruskan dan menyarankan penoreh mempelbagaikan pendapatan.

Mengulas lanjut, Isham yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak berkata cadangan kedua Teresa yang mahu penoreh menanam sayur atau menternak ikan juga dinilai sebagai kurang bijak.

“Dalam ekonomi ada sesuatu perkara asas yang dinamakan pengkhususan kerja (division of labor). Adalah lebih produktif dan efisyen jika seseorang itu mengkhususkan pekerjaannya kepada satu bidang kerana kekangan masa, sumber dan skil.

“Juga, pengetahuan dan skil akan meningkat dalam pekerjaan yang khusus dan ini akan menambah lagi produktiviti. Penoreh yang sudah lama menoreh tahu bagaimana cara untuk menoreh dan bila untuk mendapatkan hasil tertinggi berbanding menteri yang baru belajar cara menoreh dari google.

“Sekiranya penoreh disuruh menternak ikan secara sambilan, beliau terpaksa membahagi masa antara keduanya. Apa akan jadi kepada kolam ikan dan pelaburan beliau bila habis musim tengkujuh?

Tinggalkan dan pergi balik menoreh? Jika mahir menternak ikan, mungkin sudah lama beliau tidak menjadi penoreh getah,” bidas Isham melalui kenyataan pada Rabu.


Tiada ulasan: