HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 November 2018

Padam nama Jho Low, tindakan mengecewakan, kata Khairy

Khairy berkata, pendedahan yang dibuat ketua audit negara 
bertentangan dengan penjelasan bekas perdana menteri, Najib Razak.
KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin berkata, beliau berasa kecewa jika benar dakwaan ketua audit negara bahawa pihaknya dipaksa meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dengan menggugurkan perenggan mengenai ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho.

“Kalau berlaku arahan untuk memadamkan kehadiran Jho Low dalam mesyurat lembaga pengarah 1MDB, maka ia adalah satu tindakan serius yang mengecewakan,” kata bekas menteri belia dan sukan itu ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dilaporkan berkata, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh bersama ketua setiausaha negara dan ketua audit negara ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa serta Tan Sri Ambrin Buang, mengarahkan satu perenggan dalam laporan audit terbabit digugurkan.

Akibat itu, kata beliau, pembentangan laporan audit kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dijadualkan pada 24 Februari 2016, terpaksa ditangguhkan kepada 4 dan 7 Mac 2016.

Khairy berkata, pendedahan yang dibuat Madinah itu juga bertentangan dengan apa yang dijelaskan Najib.

“Datuk Seri Najib semalam memberi penjelasan bahawa dalam jawapan di Parlimen beliau pernah mengesahkan melalui Kementerian Kewangan tentang kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, namun demikian kalau itu benar, kenapa ada kenyataan daripada ketua audit negara yang menyatakan ada arahan untuk meminda laporan tersebut.

“Jadi di situ ada percanggahan penjelasan daripada Najib dan juga pendirian daripada ketua audit negara. Kita tunggu penjelasan daripada ketua audit negara tentang perkara ini dan juga siasatan yang telahpun bermula pada hari ini dengan beberapa orang dipanggil ke SPRM untuk beri keterangan,”katanya.

Khairy berkata, Jabatan Audit Negara sepatutnya bebas dan berkecuali daripada menjadi alat mana-mana pihak dalam menjalankan tugas.

“Tidak boleh diarah untuk dipinda dan sebagainya. Saya sebagai menteripun banyak kali kementerian saya disiasat diaudit ditegur dan kita terima sebab itu perkara biasa dalam kerajaan.

“Mesti diaudit dan kelemahan mesti diatasi,” katanya sambil menegaskan ketika pemerintahan Barisan Nasional banyak perkara mengenai 1MDB tidak dilaporkan kepada jemaah menteri.

Semalam, peguam Najib mempertikaikan dakwaan ketua audit negara yang jabatannya dipaksa meminda laporan pengauditan 1MDB bagi menggugurkan perenggan mengenai ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, kenyataan ketua audit negara itu bukan sahaja “pramatang” dan “bertentangan proses undang-undang sewajarnya”, tetapi juga bermotifkan politik terhadap bekas perdana menteri.

“Dengan pengakuannya itu, kenyataan media ketua audit negara yang dikeluarkan secara luar biasa kepada orang ramai pada pagi Ahad dibuat atas arahan Kabinet,” kata Shafee beberapa jam selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan siasatan sudah dimulakan terhadap dakwaan itu.

“Ini seolah-olah menunjukkan ada ketegangan politik dan pertimbangan untuk mengeluarkan kenyataan media itu,” katanya.

Tiada ulasan: