PARLIMEN | Seseorang pendakwah yang ingin menyertai sebarang program di negara ini perlu memahami keadaan masyarakat Malaysia, kata Dr Mujahid Yusof.
Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri itu negara ini mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan faktor lain yang berkaitan.
Katanya faktor kepelbagaian itu perlu diambil kira supaya tidak ada mana-mana pihak berasa tersinggung dengan dakwah yang disampaikan.
"Ia juga akan menjaga imej Islam daripada dilabel sebagai agama yang tidak mempunyai sifat belas kasihan dan toleransi semasa berbicara mengenai agama lain.
"Islam adalah agama yang membawa mesej rahmatan lil ‘alamin," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Terdahulu anggota parlimen Parit Buntar itu ditanya Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang meminta kerajaan menyatakan keputusan mengenai status aktiviti ceramah pendakwah dari India, Zakir Naik.
Menurut Mujahid penekanan kepada aspek dakwah bil hal (dakwah melalui tingkah laku) juga harus ditingkatkan supaya masyarakat bukan Islam dapat melihat keindahan Islam secara praktikal dan bukan sekadar retorik kosong.
Beliau juga berkata semua penceramah termasuk dari luar negara perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa agama sesebuah negeri, serta tauliah dari pejabat mufti, selain pihak keselamatan.
"Para pendakwah yang hendak berdakwah di negara ini perlu melalui tapisan keselamatan yang dilakukan kepada penceramah serta mereka yang terlibat, agar bersesuaian dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan