HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2018

RUSUHAN KUIL: AMARAN KERAS MAHATHIR



Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada mana-mana ahli politik serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengambil kesempatan terhadap insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin lalu.

Perdana Menteri berkata, hak dan kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang itu boleh menyatakan apa sahaja yang bersifat provokatif terhadap pihak lain.

“Kerajaan tidak memandang ringan insiden itu yang boleh membawa kepada masalah lebih besar melibatkan ketenteraman kaum, sebarang usaha provokasi akan diambil tindakan.

“Saya juga meminta semua rakyat supaya bertenang dan mengelak daripada terbabit di dalam aktiviti yang boleh menjadi landasan untuk melakukan instigation (mencetuskan pergaduhan) dan hasutan.

“Kerajaan tidak akan bertolak-ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak di perlekehkan oleh sesiapa,” katanya dalam sesi sidang Dewan Rakyat, pada Khamis.

Insiden rusuhan itu mengejutkan rakyat ekoran dakwaan liar kononnya berlaku rusuhan kaum, namun hasil siasatan awal mendapati berpunca akibat pertelingkan antara pihak pemaju dan pihak kuil berkenaan.

Kata Perdana Menteri lagi, negara kini sedang diterajui oleh kerajaan yang baharu dan pastinya terdapat kepincangan yang digemari oleh pihak tertentu.

Tambah beliau, kerajaan amat kesal dengan kejadian rusuhan yang berlaku itu sehingga mengakibatkan kecederaan serius kepada anggota bomba penyelamat serta pasukan polis, kerosakan harta benda awam dan persendirian akibat tindakan perusuh yang tidak bertanggungjawab.

“Kita mahu perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Saya minta semua pihak, sama ada dalam Dewan Rakyat ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu,” katanya.


Tiada ulasan: