HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 November 2018

MB mahu tindakan tegas terhadap pelaku kekecohan kuil Seafield




SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berharap tindakan tegas diambil terhadap mereka yang memulakan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya awal pagi tadi.

Ditemui pemberita di Dewan Negeri Selangor hari ini, Amirudin meminta semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh menimbulkan suasana kurang baik.

“Saya berasa amat sedih dengan apa yang berlaku dan berharap tindakan tegas dapat diambil kepada mereka yang memulakan dan mereka yang menimbulkan suasana yang kurang baik dan kurang harmoni,” katanya.

“Hal sebegini biar diberikan kepercayaan sepenuhnya kepada polis supaya dapat menyiasat motif dan perkara sebenar di sebalik kejadian itu.”

Menteri besar mengambil pendirian untuk menghormati keputusan mahkamah berhubung penempatan semula kuil tersebut.

“Mahkamah memutuskan tanah itu hak milik syarikat pemaju dan kita memberi kelonggaran sehingga selepas Deepavali untuk pihak kuil berpindah ke kawasan baharu yang seluas 1.5 ekar,” katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk bertemu pihak pengurusan kuil.

Polis mengerahkan elemen, termasuk Unit Simpanan Persekutuan, ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan susulan pergaduhan melibatkan 2 kumpulan pada 2.00 pagi hari ini, yang berpunca daripada salah faham berhubung penempatan semula kuil itu.

Kekecohan itu menyaksikan 18 kereta dan 2 motosikal dibakar. Polis mengumumkan setakat ini 7 orang sudah ditahan.

Kuil berkenaan dijadualkan dipindahkan pada 22 November berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.

Bagaimanapun satu kumpulan dalam kalangan penganut di kuil berkenaan berkeras mahu ia dikekalkan di tapak sedia ada, dan tidak dipindahkan ke tapak baru 3km dari situ, walaupun selepas bersetuju berbuat demikian dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 2014.

Sementara itu, Adun Kota Kemuning V Ganabatirau menggesa polis menyediakan perlindungan sewajarnya kepada orang awam selaras Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengutuk “tindakan pengecut” sekumpulan penceroboh yang tiada hak memasuki kuil dengan senjata berbahaya dan menyerang orang awam dalam kuil itu.

“Serangan oleh sekumpulan samseng menunjukkan ada cubaan untuk mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan kaum yang hidup dengan aman selama ini.”

Tiada ulasan: