HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2018

Akta Pampasan Pekerja 1952 akan dimansuhkan – Kula Segaran

MALAYSIA GAZETTE
xMGF21112017_TINJAUAN-DAILY-LIFE-02-681x454
Seorang pekerja warga asing memeriksa paip konkrit sebelum menjalankan proses pemasangan paip bawah tanah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Akta Pampasan Pekerja 1952 akan dimansuhkan antara lain bagi membolehkan perlindungan sama rata kepada pekerja tempatan dan asing yang bekerja di dalam negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata ini selaras dengan komitmen kerajaan mempertingkatkan perlindungan kepada pekerja-pekerja asing yang kini dilindungi di bawah Skim Pampasan Pekerja Asing di bawah akta berkenaan.

“Ini mustahak kerana kita nak sama ratakan antara pekerja dalaman dan asing, ini juga adalah kehendak konvensi yang kita telah setuju dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” katanya kepada sidang media selepas majlis penutup Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-25 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai keputusan Kabinet meletakkan perlindungan keselamatan sosial pekerja asing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Januari depan.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata pemansuhan akta itu adalah supaya penggantian perlindungan keselamatan pekerja asing daripada skim di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 sebelum ini kepada di bawah Perkeso dapat dilaksanakan dan kerajaan mempunyai sistem kawalan perlindungan lebih efisyen.

“Ia akan beri pengetahuan lebih luas kepada kita dalam data, yang mana kita akan dapat tahu berapa pekerja asing pada bila-bila masa dengan sera merta, berapakah pekerja-pekerja asing bekerja, sektor mana mereka bekerja, syarikat mana dan majikan mana.

Bermakna kita akan tahu juga sama ada majikan mencarum atau tidak, maka kalau dia tidak mencarum maka kita boleh beritahu Imigresen dan polis untuk cari mereka supaya tindakan diambil,” katanya.

Beliau juga berkata dengan proses pemansuhan akta ini sedang berjalan, skim pampasan pekerja asing ini tidak lagi diaktifkan untuk pembaharuan dan pendaftaran baharu.— BERNAMA


Tiada ulasan: