THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ambil masa kira-kira satu jam bagi memadam dan mengawal kebakaran melibatkan sejumlah kenderaan yang terbakar ekoran kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights.
Pegawai Operasi Zon Petaling, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Zaikunor Afendi Muhammad Nordin berkata sebanyak 18 kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal terbakar pada insiden yang belaku awal pagi tadi.
Katanya sebanyak dua jentera bomba dengan 12 anggota dari JBPM Subang Jaya dikerahkan dan tiba di kuil itu pada 4.53 pagi ini.
“Pemadaman tamat kira-kira pukul 6 pagi dan pihak kami difahamkan oleh pihak polis bahawa ada dua individu cedera dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Muhammad Zaikunor Afendi, siasatan masih dijalankan berhubung jumlah kerugian dan anggota serta jentera JBPM terbabit masih berada di kuil itu bagi membantu pihak polis.
Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil.
Video kejadian itu viral dalam media sosial. Turut dilaporkan banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu puncak pagi ini.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan