HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2018

Perhalusi kaedah subsidi petrol

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Ramai gembira dengan pengumuman subsidi petrol bersasar untuk isi rumah berpendapatan rendah (B40) semasa pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini.

Rata-rata berharap agar inisiatif kerajaan itu dapat membantu meringankan kos sara hidup mereka yang kian meningkat, selain memastikan mekanisme itu benar-benar memanfaatkan kumpulan sasaran.

Bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan menepati objektif asal, kerajaan mengalukan-alukan pandangan serta cadangan semua pihak bagi mencari kaedah paling sesuai dalam melaksanakan pemberian subsidi baharu itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan meminta rakyat supaya tidak hanya mengkritik sebaliknya menyalurkan teguran dan pandangan ke arah kelancaran pelaksanaan subsidi itu kelak.

Semasa membentang Belanjawan 2019 pada 2 Nov lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pemberian subsidi petrol bersasar kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500cc dan ke bawah serta pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Melalui mekanisme itu, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

Bakal bermula pada suku kedua 2019 dengan melibatkan peruntukkan sebanyak RM2 bilion, inisiatif itu dijangka akan memanfaatkan seramai empat juta pemilik kenderaan dan 2.6 juta pemilik motosikal.

KAD SUBSIDI PETROL

Kerani syarikat swasta, Nurhanis Mohd Roslan, 31, berkata kerajaan boleh membuka permohonan dalam talian sebelum mengeluarkan kad subsidi petrol kepada mereka yang layak.

“Ia boleh dibuat secara dalam talian, isi butiran diri termasuklah pendapatan isi rumah dan maklumat kenderaan yang digunakan. Daripada situ, kerajaan boleh tentukan sama ada mereka layak atau tidak untuk menerima dapat kad subsidi petrol.

“Kad itu kelak boleh digunakan di mana-mana stesen minyak dan tidak terhad kepada stesen tertentu sahaja. Ia mungkin memerlukan kerjasama antara kerajaan dan stesen minyak supaya golongan sasaran benar-benar mendapat manfaat seperti yang diumumkan ketika pembentangan belanjawan,” katanya kepada Bernama.

Jurutera Muhammad Afiq Mahadi, 32, bersetuju dengan penggunaan kad subsidi petrol namun berpendapat rakyat perlu jujur ketika mengisi butiran diri mereka terutama maklumat kenderaan yang dimiliki dan digunakan.

“Kerajaan mungkin minta salinan geran kenderaan untuk menentukan seseorang individu itu layak atau tidak menerima subsidi minyak. Dalam hal ini, ia bergantung pada integriti seseorang…cuma bimbang ada yang ambil kesempatan dengan menunjukkan geran kereta lain (yang layak subsidi).

“Jika ini berlaku, apa yang kerajaan boleh lakukan? Stesen-stesen minyak diharap memantau dan memastikan maklumat kenderaan yang tertera pada kad subsidi petrol selari dengan kenderaan yang digunakan pengguna ketika mahu mengisi minyak.

“Nampak leceh, tapi itulah yang boleh dilakukan bagi memastikan subsidi petrol bersasar tidak disalahgunakan dan diterima orang yang layak,” katanya.

GAJI RENDAH

Mengakui bahawa mekanisme baharu itu bukan mudah untuk dilaksanakan, sukarelawan Mohd Fadly Daud, 39, berkata ia memerlukan ​​​​kerajaan bertindak lebih tegas di samping pemantauan berterusan oleh pihak terlibat.

Ini berikutan banyak kelompongan yang dikhuatiri akan disalah guna dan ‘dicerobohi’ oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Agak rumit bagi memastikan ia berjalan lancar, namun ia juga bukanlah perkara mustahil. Saya berpendapat kerajaan boleh melaksanakan kaedah pemberian baucar kepada mereka yang berkerja dengan gaji rendah berdasarkan rekod caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau rekod lain yang berkaitan.

“Individu yang tidak bekerja, kecuali warga emas atau orang kelainan upaya (OKU), tidaklah perlu diberi subsidi petrol bersasar ini. Kaedah ini mungkin nampak tidak adil bagi sesetengah orang yang tidak mempunyai pendapatan tetap namun, jika diperhalusi, ia boleh membantu kerajaan melaksanakan mekanisme ini dengan lancar,” katanya.

Mohd Fadly berkata melalui kaedah itu, beberapa perkara boleh menjadi ‘kayu ukur’ termasuk sumbangan seseorang individu sebagai contoh pembayar cukai yang membolehkan mereka dibantu semula oleh kerajaan dengan pelaksanaan sesuatu dasar atau polisi.

“Bukan soal kerajaan berkira untuk membantu rakyat, tetapi definisi pendapatan rendah itu sendiri perlu diperhalusi dengan lebih tepat. Sebab apa pendapatan rendah, bekerja dengan gaji yang sedikit atau hanya duduk diam dan mengharap bantuan semata-mata?

“Jika hanya mengharapkan bantuan dan subsidi tetapi tidak bekerja, ia tidak adil bagi mereka yang bekerja keras dan membayar cukai. Disebabkan itu, timbul pertikaian oleh mereka yang berpendapatan sederhana (golongan M40) kerana dari segi peratusan, merekalah golongan pembayar cukai terbesar tetapi tidak diberi subsidi kerajaan,” katanya.

FAKTOR LOKASI, GEOGRAFI

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata meskipun subsidi petrol bersasar dijangka memenuhi keperluan kumpulan sasaran, kerajaan perlu memastikan ia benar-benar bersifat menyeluruh termasuk turut diterima mereka yang tinggal di kawasan pedalaman serta di Sabah dan Sarawak.

Selain faktor lokasi dan geografi berbeza di antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, jenis pengangkutan utama yang digunakan juga perlu diambil kira.

“Di Semenanjung mungkin tiada masalah, tetapi di Sabah dan Sarawak ia mungkin sedikit teknikal kerana faktor keadaan muka bumi atau tempat tinggal golongan sasaran yang terletak di kawasan pedalaman. Kenderaan utama mereka juga berbeza yang kebanyakannya menggunakan ‘enjin motor sangkut’ (perahu atau bot), bukan kereta atau motosikal seperti di Semenanjung.

“Ramai pihak mencadangkan penggunaan kad subsidi petrol kerana berpendapat ia kaedah yang paling sesuai, namun ia perlu bergantung kepada beberapa perkara mengikut kesesuaiannya juga. Apa yang penting, kerajaan perlu memastikan subsidi minyak bersasar ini benar-benar mencapai matlamatnya untuk membantu kumpulan sasaran,” katanya.

Mencadangkan agar mekanisme baharu itu nanti dijalankan secara berperingkat, Muhammad Ridhuan Bos berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan stesen minyak tertentu yang dipilih (kerajaan) untuk menerima kad subsidi bagi memudahkan pemantauan sekaligus mengekang isu salah guna subsidi.

HARAP TIADA PENINGKATAN KOS

Sementara itu, Presiden Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata terdapat dua kaedah yang boleh dijalankan untuk mekanisme baharu itu.

“Pertama, mereka yang terlibat boleh bayar tunai dan kemudian minta pembayaran balik daripada kerajaan. Kedua, melalui penggunaan kad itu, mereka yang layak boleh membeli petrol pada harga subsidi 30 sen seliter tetapi dengan syarat wang (kerajaan) mesti diberikan awal, jika tidak ia akan mengganggu modal pusingan kami.

“Selain tidak mahu adanya peningkatan kos seperti perlu menggaji kakitangan tambahan, caj Kadar Diskaun Peniaga (MDR) dan menggunakan modal kerja, kami juga mahu kenaikan komisen dibuat terlebih dahulu sebelum sesuatu sistem baharu dilaksanakan kerana bimbang dengan kos tambahan yang akan mendorong peniaga kecilan ‘gulung tikar’,” jelasnya.

Mengenai pengapungan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM), beliau berkata walaupun PDAM selesa dengan kestabilan harga seperti sekarang, namun kaedah pengapungan mengikut APM adalah lebih baik kerana menjadikan harga lebih stabil berbanding penetapan harga minyak secara mingguan atau bulanan sebelum ini.

“Kos yang perlu kami tanggung tinggi, margin pula kurang jadi jika berlaku sebarang peningkatan harga, ia akan memberi kesan besar kepada kami. Berbeza dengan industri lain, harga kami (petrol) ditentukan oleh kerajaan bukan kami sendiri.

“Kerajaan perlu menjalin kerjasama berterusan dengan pengusaha syarikat minyak bagi memastikan kelancaran pelaksanaan mekanisme baharu ini,” katanya.

RUANGAN SISI

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan projek perintis sebelum pelaksanaan subsidi petrol bersasar bagi memastikan mekanisme baharu untuk golongan B40 itu berjalan lancar di semua stesen minyak apabila dilaksanakan.

Ia dijangka dilaksanakan seawal April tahun depan.

Kementerian turut melancarkan Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi penyedia perkhidmatan bagi mewujudkan mekanisme baharu sebelum projek perintis dijalankan pada suku pertama tahun depan.

Jika memberi impak positif, kerajaan mungkin akan menggunakan kaedah sama ke atas barangan lain bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.– Bernama

Tiada ulasan: