Dewasa ini, segelintir orang Melayu khususnya ahli dan terutamanya pemimpin parti, termasuk juga anggota beberapa Badan Bukan Kerajaan pro Umno, amat gemar bercakap pasal 13 Mei.
Walaupun 49 tahun sudah berlalu, namun mereka kerap bercakap mengenainya. Mengapa?
Sebelum bercakap pasal itu saya bercakap pasal ini.
Tahun 1969 saya berusia 14 tahun. Tidak cukup dewasa untuk tahu selok belok keadaan tetapi tidak juga terlalu budak untuk tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Ketika itu saya tinggal di Jalan Daud Kampung Baru, sebuah perkampungan Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur. Kampung Baru tempat kelahiran saya. Tempat tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei.
Masa itu saya belajar di tingkatan dua di St John’s Institution di Bukit Nanas yang terletak tidak berapa jauh dari Kampung Baru.
Entah kenapa pada hari itu - 13 Mei - hari Selasa kami dibenarkan pulang awal. Jam 5.45 petang.
Biasanya waktu sekolah habis jam 6.30 petang.
Nak berarak
Sebelum ke sekolah pagi itu, kira kira jam 11 pagi seorang pemuda kampung datang ke rumah mahu berjumpa abang saya. Bila diberitahu abang saya tidak ada di rumah dia tinggalkan pesan meminta abang saya datang ke rumah ‘Datuk Harun’ petang nanti. Nak berarak katanya.
Datuk Harun merujuk kepada Datuk Harun Idris menteri besar Selangor ketika itu. Kediaman rasmi menteri besar terletak di Jalan Raja Muda atau Princess Road di Kampung Baru.
Seperti dikatakan tadi kami budak sekolah St John sesi petang dibenar pulang awal. Kira kira jam 6 lebih saya beradadi kedai mee Mak Yam berdekatan Sungai Bunus di Jalan Hale (sekarang Jalan Raja Abdullah).
Di lampu trafik persimpangan Jalan Hale - Princess Road saya berhenti kerana lampu merah. Dari situ kelihatan ada kereta terbakar di kawasan depan kediaman Datuk Harun (kemudian baru saya tahu kereta itu dibakar).
Di sebelah saya dua lelaki Cina menunggang motosikal. Bila lampu bertukar hijau mereka bergerak menuju ke tempat kereta terbakar - di depan kediaman Datuk Harun. (laporan rasmi kerajaan berhubung 13 Mei yang dikeluarkan beberapa bulan kemudian ada menyebut kedua-dua lelaki tersebut terbunuh atau lebih tepat lagi dibunuh).
Bawa parang
Saya tidak kayuh basikal ke arah kediaman Datuk Harun.Tidak tahu kenapa. Sebaliknya saya pulang.
Sempat ternampak tiga pemuda Melayu dengan lilitan putih di kepala. Masing masing membawa parang berlari menuju Chow Kit.
Keadaan cukup cemas dan huru hara. Deretan kedai berhampiran dibakar. Saya tidak nampak ketika ia dibakar. Hanya asap hitam tebal dilihat dari rumah.
FRU datang cuba mengawal keadaan. Lewat malam regimen askar Melayu pula tiba.
Kampung Baru diletak dibawah perintah berkurung 24 jam.Apabila perintah berkurung dilonggarkan di tempat lain di Kuala Lumpur, Kampung Baru masih berkurung 24 jam.
Bekalan makanan dibawa kepada penduduk oleh askar Melayu. Di samping itu diagihkan juga di masjid jamek Kampung Baru.
Sepuluh hari Kampung Baru diletak dibawah perintah berkurung 24 jam.Selepas itu waktu perintah berkurung dikurangkan secara berperingkat hingga keadaan kembali aman.
Bila keadaan reda barulah saya tahu jiran saya Pak Cik Rahim yang rumahnya berhadapan dengan rumah saya menyembunyikan dua kontraktor Cina di rumahnya.
Kedua-dua mereka sejak pagi menjalankan kerja baik pulih rumah Pak Cik Rahim sehingga rusuhan kaum tercetus petang 13 Mei.
Pengkhiamat bangsa?
Menurut Pak Cik Rahim, apabila perintah berkurung dilonggarkan beliau secara senyap menyerahkan kedua-dua lelaki Cina itu kepada askar Melayu untuk dibawa ke tempat selemat.
Saya juga diberitahu kisah sepupu saya Osman yang bekerja sebagai pemandu seorang tauke Cina di Jalan Tiong Nam dalam kawasan Chow Kit.
Petang itu bila rusuhan tercetus tauke itu menyuruh Osman bersembunyi di atas siling kedainya.
Tujuan mereka jelas. Jawab si tauke, Osman pemandunya sudah awal awal pulang. Lantas kumpulan pemuda itu bergegas keluar. Dan terselamatlah Osman sepupu saya itu.
Dia pulang beberapa hari kemudian bila keadaan mula reda.
Si tauke Cina mengambil risiko dan kemungkinan menghadapi tuduhan pengkhianat bangsa Cina demi menyelamatkan pekerja Melayu.
Begitu juga Pak Cik Rahim mengambil risiko dan sanggup menghadapi kemunginan dituduh pengkhianat bangsa Melayu semata-mata untuk menyelamat dua lelaki Cina.
Jadi korban
Berbalik kepada persoalan mengapa sesetengah orang Melayu terutama orang politik atau mereka yang ada cita cita politik amat gemar “bercakap” mengenai 13 Mei walaupun ia sudah lama berlalu.
Untuk mengambil iktibar dan dijadikan pengajaran akan apa yang telah berlaku supaya ia tidak diulangi ? Bagus jika itu tujuannya.
Namun tidak dapat dinafikan apabila mereka bercakap pasal 13 Mei kepada masyarakat bukan Melayu khususnya orang Cina nadanya keras ada nada unsur amaran dan ancaman.
Apa pun sebabnya – dicabar atau tidak - amaran sedemikian ialah kerana mereka yang memberi amaran percaya orang Melayu “menang’ ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969 terjadi.
Namun hakikatnya kedua-dua bangsa - Cina dan Melayu - jadi korban.
Hakikatnya tiada siapa yang menang. Kita sama-sama kalah.
MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan