HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2018

WAYTHA MOORTHY TAK PERLU JADI HERO – ZAHID



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan P Waytha Moorthy supaya tidak menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk cuba menjadi wira sehingga mencetuskan provokasi agama di negara ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Waytha Moorthy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak wajar menyalahkan pihak polis dalam insiden berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berharap semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang ke arah mencari penyelesaian

“Penganut semua agama harus menghormati antara satu sama lain. Jangan ada mana-mana pihak yang berasa seolah-olah mahu menjadi wira kepada sesuatu agama.

“Tambahan pula jika portfolio dipegang adalah untuk tujuan mewujudkan perpaduan, maka jangan kedudukan ini dijadikan tempat mencetuskan suasana kurang senang kepada penganut mana-mana agama.

“Keharmonian beragama perlu dikekalkan. Ikut peraturan dan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara berhemah supaya tidak timbul masalah keharmonian antara kaum yang wujud sejak merdeka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, pada Selasa.

Semalam, Waytha Moorthy yang membacakan kenyataan bersama beberapa menteri, mendakwa polis lewat tiba di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, pantas mempertahankan polis menjalankan tugas dengan baik, khususnya apabila tiada pihak yang kehilangan nyawa dalam insiden yang tercetus kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata kerajaan hari ini perlu menjadikan kejatuhan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada 2008, yang antaranya berpunca daripada isu meruntuhkan kuil sebagai pengajaran.

Katanya, insiden terbaru itu tercetus atas tiga faktor iaitu soal pematuhan kepada peraturan ditentukan pihak berkuasa negeri dan kerajaan tempatan.

“Kedua adalah soal pemilikan tanah rumah ibadat dan ketiga mengenai bagaimana sesuatu agama diamalkan dalam keadaan yang mematuhi peraturan,” katanya.




Tiada ulasan: