HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 November 2018

Selamatkan TM


Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.




KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) yang prihatin dengan perkembangan terkini Telekom Malaysia (TM) mahu Menteri Komunikasi dan Multimedia bersikap adil dan melihat keseluruhan aspek syarikat berkenaan.

Sekiranya, harga perkhidmatan jalur lebar mahu dikurangkan, syarikat-syarikat persendirian lain seharusnya bersama-sama TM membina infrastruktur jalur lebar dan komunikasi di seluruh Malaysia.

Ketua Pemuda Parti Ikatan, Shahir Adnan berkata, keadaan syarikat semakin teruk apabila sahamnya terus merosot setiap hari dan diburukkan lagi dengan kenyataan Gobind Singh Deo yang menekan syarikat berkenaan untuk menurunkan kos jalur lebar tanpa melihat kesan jangka panjang.
IMG_0093-001
Shahrir Adnan
“Adalah amat membimbangkan apabila saham syarikat merundum jatuh ke tahap terendah (bersamaan RM 2.15) sejak penubuhan syarikat TM dan prestasi saham masih berada pada takuk sama dalam tempoh sebulan ini.

“Untuk perbandingan, nilai saham TM adalah RM 6.05 pada bulan Januari 2018,” katanya.

Sedangkan, ujarnya, TM sebelum ini merupakan syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia dan ketiga terbesar di dunia.

Telekom Malaysia juga merupakan antara syarikat milik kerajaan yang mempunyai asset dan aliran wang tunai berbilion ringgit.

Pemegang saham utama syarikat TM adalah Khazanah Nasional Berhad (26.21%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (16.65%), dan Amanah Saham Bumiputera (11.84%).

Kedudukan saham TM yang menjunam pastinya memberi tempias kepada Khazanah, KWSP dan ASB.

Dan, pastinya rakyat akan terus dihimpit dengan kejatuhan ekonomi Malaysia.

Tegas Shahrir, TM merupakan satu-satunya syarikat yang menyediakan infrastruktur jalur lebar dan komunikasi di seluruh Malaysia.

Syarikat-syarikat telekomunikasi lain menggunakan infrastruktur yang telah disediakan oleh TM untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Seharusnya Menteri terbabit bersikap adil terhadap TM,” ujarnya sambil menggesa semua pihak untuk melihat keseluruhan struktur korporat syarikat telekomunikasi itu.

Ini kerana, di samping menyediakan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian Internet, TM merupakan sebuah syarikat yang menubuhkan universiti khusus, Multimedia University (MMU) untuk melatih anak-anak muda dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat.

Saham TM telah menyaksikan penurunan ketara sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan pada Mei lalu.

Harga saham syarikat itu ditutup pada RM2.30 sesaham, penyusutan melebihi 50 peratus berbanding harga sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 sebanyak RM5.

Penurunan saham TM susulan kerajaan PH menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar dalam usaha memastikan semua rakyat Malaysia dapat akses Internet.

Malah, TM, Maxis Bhd, TIME dotCom Bhd dan Celcom Axiata Bhd – empat syarikat telekomunikasi utama negara – telah mencapai perjanjian mengenai piawaian mandatori mengenai penetapan harga akses (MSAP), yang akan menghasilkan harga jalur lebar tetap yang 30 peratus lebih rendah.

Langkah itu dilihat memberi pendedahan terhad kepada para pemain kecil industri yang menawarkan perkhidmatan jalur lebar berbanding TM yang menguasai pasaran.

Malah, langkah menurunkan harga perkhidmatan itu menyebabkan pendapatan TM menurun antara 20 hingga 30 peratus, sekaligus menyebabkan pembayaran dividen lebih rendah.

Disebabkan itu, pelabur bertindak keluar daripada TM. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: