HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2018

Fail kes kuil dikendali ibu pejabat Jabatan Peguam Negara

MALAYSIAKINI

   

Peguam negara mengarahkan fail berkaitan isu kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor dikendalikan di peringkat Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara.

Kata Tommy Thomas kes itu akan diselia ketua bahagian pendakwaan jabatan terbabit berdasarkan tahap serius dan sensitif isu terbabit.

Ketua bahagian pendakwaan itu pula kata Thomas akan memaklumkan perkembangan kes berkenaan kepadanya dari semasa ke semasa.

Thomas berkata beliau juga bersedia bertemu dengan semua peguam yang mewakili pihak yang terbabit dalam isu berkenaan.

"Pertikaian yang berlaku berpunca daripada arahan yang direkodkan di mahkamah dalam prosiding sivil.

"Oleh itu, pihak saya berbesar hati akan bertemu dengan semua peguam yang mewakili pihak-pihak berkaitan untuk menyelesaikan pertikaian mereka di pejabat peguam negara berkenaan dengan charitable trusts di bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan, 1956," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu kuil yang terletak di dalam kawasan tanah milik syarikat pemaju itu mencetuskan ketegangan apabila berlaku kekacauan beberapa hari lalu.

Diberi taklimat PDRM

Insiden itu turut menyaksikan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia cedera parah akibat dipukul perusuh.

Kira-kira 30 orang ditahan untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun kerajaan menegaskan ia tiada kaitan dengan konflik perkauman atau keagamaan.

Kata Thomas insiden keganasan di kuil itu sesuatu yang serius dan mencetuskan kebimbangan ramai.

Pada masa sama katanya Jabatan Peguam Negara diberikan taklimat berhubung perkara itu oleh pihak pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia.

Justeru kata Thomas Jabatan Peguam Negara akan terus bekerjasama dengan pihak polis untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas semua yang terlibat dalam rusuhan, tanpa apa-apa pengecualian.

"Jabatan ini mengambil maklum akan keperluan untuk menyegerakan tindakan dalam menangani situasi-situasi yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan keamanan," katanya.


Tiada ulasan: