HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 November 2018

Hukum ahli yang tuang Dewan

Oleh A Kadir Jasin




KALAU Pakatan Harapan (PH) hendak kekal lama, ia wajib terus yakinkan rakyat jelata bahawa ia berbeza dan berlainan daripada Barisan Nasional (BN).

Saya sengaja gunakan istilah “terus” kerana sudah ada orang yang kata kepada saya PH sama saja dengan BN.

Saya tanya, sama macam mana? Mereka kata, sudah ada pemimpin PH – daripada anggota Kabinet kepada ketua bahagian - yang berlagak macam pemimpin BN.

Saya tanya lagi, lagak macam mana? Mereka kata, baru saja jadi menteri dah sombong, susah nak jumpa dan jarang turun padang jumpa rakyat.

Rakyat jelata hendak tengok wajah wakil rakyat mereka dan bagi tahu masalah yang mereka hadapi setiap hari. Misalnya sekarang ini harga getah dan kelapa sawit sangat rendah.

Rakyat jelata bukan tidak tahu sebab-musabab harga komoditi jatuh. Mereka tahu harga komoditi satu dunia jatuh. Yang mereka terkilan ialah YB mereka seolah-olah tidak peduli.

Yang mereka mahu adalah simpati. Tapi kalau boleh bagi bantuan sekadar yang mampu lagi baiklah. Sekolah sudah hendak cuti. Ibu bapa kena mula buat persiapan untuk tahun persekolahan baharu.

Kita tahulah menteri sibuk kerana banyak najis kerajaan dahulu yang terpaksa dibersihkan dan disamak. Tapi balik kawasan dan berjumpa rakyat jelata, itu wajib.

Kemudian kita dengar ada menteri yang buat kementerian macam harta peribadi – lantik dan buang pegawai sesuka hati, tukar dasar tanpa rundingan dan lebih banyak jana berita sensasi daripada berita berisi.

Sudah pun kedengaran ada menteri yang bawa anak masuk pejabat sehingga memaksa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan kepada media massa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) akan meneliti tuduhan itu.

Dr Mahathir ni orang yang sangat baik, sabar dan pemaaf. Saya sudah lama kenal beliau. Jadi menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri janganlah ambil kesempatan.

Janganlah biar beliau tegur banyak kali sangat nanti rakyat meluat. Ingatlah, kalau tidak kerana beliau, susah juga kita nak menang. Atau boleh jadi tak menang.

Beliau sudah buat pindaan tukar mesyuarat Kabinet daripada hari Rabu kepada Jumaat masa Parlimen bersidang supaya menteri boleh hadir sidang.

Dulu masa saya pengarang New Straits Times saya siarkan butir kehadiran ahli dalam Parlimen. Ramai anggota marah kononnya tidak tepat sebab masa wartawan buat kiraan, mereka dalam tandas atau keluar hisap rokok.

Itu dulu. Sekarang tidak boleh bohong lagi. Kita boleh tengok sendiri di kaca TV bila Dewan melopong kerana ahli kerap sangat pergi tandas atau jalan jauh dari Dewan untuk lepaskan ketagihan.
Saya sarankan kepada media massa supaya memantau kehadiran ahli Dewan secara berterusan dan dedah identiti kaki tuang.

Kalau ada yang malas sangat hendak hadir sidang Dewan, saya cadangkan parti masing-masing ambil tindakan tegas termasuk menggugurkan mereka supaya pilihan raya kecil boleh diadakan bagi mencari pengganti yang lebih baik.

Dalam Malaysia Baharu ini, kita wajib berani melakukan sesuatu yang baharu dan radikal. Kita akan jadi bahan ketawa kalau kita sama saja dengan kerajaan BN yang rakyat jelata gulingkan.

Seelok-eloknya wakil rakyat sentiasa berada di padang. Bukan turun padang bila hampir pilihan raya saja. Kalau tidak boleh sebab jadi menteri dan exco, lantiklah wakil yang berkebolehan dan tekun.

Lima tahun tidak lama. Kalau rakyat jelata boleh singkir parti yang berkuasa lebih 60 tahun apa sangatlah kita yang baru belajar bertatih. Jangan kita biarkan bala yang menimpa BN menimpa kita pula.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara
 

Tiada ulasan: