HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2018

Mapim sokong tubuh Majlis Tahfiz Negara

Manzaidi Mohd Amin

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong pengumuman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berhubung cadangan kerajaan menubuhkan Majlis Tahfiz Negara.

Mapim berpendapat cadangan yang melibatkan kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mewujudkan peraturan pendaftaran maahad tahfiz swasta adalah wajar dan sangat tepat masanya.

Menurut Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, takrif sekolah tahfiz sebagai sekolah agama perlu jelas dan memudahkan bantuan disalurkan.

Jelas beliau, berkembangnya sekolah tahfiz swasta yang begitu banyak menyebabkan pengawalan dan pemantauan diperlukan agar semua aspek pengurusan, pensijilan, prasarana, kelayakan guru dan kurikulum dapat diselia dengan rapi serta terselaras.

“Peranan dan sumbangan institusi tahfiz tidak dinafikan, tetapi kualiti dan pengurusan yang berintegriti juga sangat diperlukan.

“Minat ibu bapa dan masyarakat mendaftar anak ke institusi tahfiz sangat positif, namun ibu bapa juga berhak memastikan institusi tahfiz mendapat pengiktirafan oleh pihak berkuasa agama.

“Aspek terpenting ialah kurikulum, prasarana yang selamat serta pengurusan yang memenuhi tahap piawaan sepatutnya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, di Dewan Rakyat, Fuziah dilaporkan berkata, Majlis Tahfiz Negara bakal ditubuhkan tahun depan bagi membolehkan usaha menyelaras dan mengawal selia sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri, dilaksanakan secara berkesan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, kerajaan akan meminda Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan).

Menurut Mohd Azmi, pihaknya prihatin tahap pencapaian pelajar tahfiz dan menyifatkan sebagai wajar kerajaan turut mengambil kira pelajar yang tidak mampu meneruskan pembelajaran tahfiz.

Katanya, pelajar yang tercicir perlu diuruskan agar tidak terpinggir dari arus perdana. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: