THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Laporan perubatan Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah ketika operasi memadam kebakaran kenderaan dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights pagi Selasa lepas akan dikeluarkan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya bersama pihak Institut Jantung Negara (IJN) sedang berkomunikasi untuk mengeluarkan laporan itu dalam masa terdekat.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung tarikh laporan itu akan dikeluarkan.
“Saya yakin dalam waktu terdekat perkara ini akan dapat diberikan…ia akan dikomunikasikan oleh pihak bertanggungjawab (IJN),” katanya dalam sidang media selepas melawat Muhammad Adib di IJN, di sini hari ini.
Dr Dzulkefly berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan laporan itu akan dikeluarkan susulan dakwaan dan spekulasi berhubung punca kecederaan anggota bomba terbabit yang tular di media sosial.
Semalam, Badan Bertindak Selamatkan Kuil Sri Maha Mariaman mendakwa Muhammad Adib tidak dipukul sekumpulan perusuh sebaliknya beliau dihimpit jentera bomba, bagaimanapun dakwaan itu disangkal Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.
Muhammad Adib sebelum ini diberi rawatan awal di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) berikutan keadaannya yang kritikal.
Dalam pada itu, Ketua Pengawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata keadaan Muhammad Adib masih kritikal tetapi stabil.
“Beliau masih dalam intubasi dan menggunakan banyak sokongan mekanikal…pesakit kritikal tetapi stabil,” katanya.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan