HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2018

Zahid: Langau politik sukakan najis dan sampah

MALAYSIAKINI

Anggota Parlimen (MP) Umno yang meninggalkan parti itu selepas kekalahannya pada 9 Mei lalu ibarat 'langau' politik yang suka mencari sampah dan najis, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada ahli parti di Kuala Lumpur hari ini, presiden Umno itu juga melabelkan mereka sebagai pengecut dan oportunis.

"Mereka adalah langau-langau politik yang pasti akan cari najis dan sampah untuk tempat langau singgah.

"Saya ucap terima kasih kerana sesungguhnya kita ada 52 MP yang tak sanggup jadi langau.

"Oleh kerana mereka merupakan langau yang cari najis dan sampah, carilah tetapi jangan bawa bau najis dan sampah ke dalam umno," katanya kepada ratusan anggota Umno Wilayah Persekutuan dalam satu acara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

BN kini mempunyai 51 anggota parlimen manakala Umno mempunyai 48 anggota parlimen selepas beberapa orang daripadanya meninggalkan parti itu.

Zahid berkata pemimpin yang meninggalkan parti itu juga bimbang selepas melihat rakan-rakan mereka ditangkap oleh pihak berkuasa dan diheret ke mahkamah.

"Orang lain yang kena siasat, kena heret mahkamah, mereka yang takut. Memang sifat langau sifat penakut langsung tak ada keberanian

"Takut pasal apa? Sebab berani kerana benar takut kerana salah. Kalau kita benar kenapa kena takut," katanya.

Zahid berkata mereka yang meninggalkan parti itu cuba mengintai peluang untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan baru.

Bagaimanapun beliau percaya mereka hanya akan dipergunakan oleh Pakatan Harapan (PH).

"Kita kena ingat dia orang jadi pembangkang ada yang 60 tahun, ada 40 tahun, ada 20 tahun keluar masuk penjara. Dah lama lapar, kawan-kawan lain pun lapar, tiba-tiba masuk nak jadi menteri

"Kerana mereka nak cari peluang di sana. Sebenarnya mereka hanya akan digunakan dan dipijak kepala untuk ke batu lain. Pemimpin-pemimpin (PH) sekarang yang dah suffer 60 tahun mesti utamakan orang-orang dia dulu," katanya.


Tiada ulasan: