KUALA LUMPUR: Semua 24 jawatan lantikan dalam pucuk pimpinan PKR akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu mengakui lantikan itu mengambil masa agak lama dan masih di peringkat rundingan.
“Saya dah bincang, tetapi perkara ini tidak perlu disegerakan. Ia masih dalam proses rundingan, jadi tak perlulah terburu-buru.
“Tapi, insya Allah sebelum tahun depan (umumkan),” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika PKR sudah memutuskan mengisi kekosongan jawatan lantikan dalam parti itu bagi penggal 2018-2021.
Sebelum ini media melaporkan bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli yang tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden, antara individu yang akan dilantik ke jawatan penting PKR.
Sementara itu, Anwar mengingatkan ahli politik PKR wajib menentang politik wang dengan mereformasi diri, tanpa menuding jari kepada pihak lain.
“Saya buat kenyataan tegas, kalau nak tuju satu pihak sahaja tak betul sebab langkah membersihkan politik wang ini bermula dengan cara hidup mewah dan membazir serta berbelanja lebih daripada pendapatan.
“Kita harus teliti semua…ini baru maksud ‘reform’.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan