Kerajaan Kelantan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mengenakan sekatan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa dan pengerusi Amanah negeri itu, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.
Bercakap kepada Malaysiakini Husam berkata kerajaan Kelantan yang diterajui PAS juga perlu membayar ganti rugi atas aib yang ditimpakan kepada pihak yang disekat itu, termasuk beliau dan Wan Abd Rahim.
Pada masa sama kata Husam beliau bersyukur kerana sekatan itu kini tidak lagi berkuat kuasa.
"Saya bersyukur dengan langkah tidak semena-mena kerajaan Kelantan menarik balik larangan memasuki Kompleks Kota Darulnaim dan pejabat-pejabat kerajaan negeri ke atas sebilangan orang termasuk saya dan Wan Abd Rahim.
"Saya menggesa kerajaan Kelantan memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi atas aib yang ditimpakan kepada semua pihak berkaitan termasuk kepada Wan Abd Rahim," katanya kepada hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan larangan memasuki pejabat kerajaan negeri yang dibuat terhadap beberapa individu ditarik balik.
Khabar itu mula diketahui selepas sekeping gambar surat ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Nazran Muhammad menjadi tular.
Nazran kemudian mengesahkan larangan terbabit sudah ditarik balik namun sekatan untuk memasuki istana Kelantan dikekalkan.
Pada 27 Mei lalu, Husam dan Wan Abd Rahim - yang juga bekas pemimpin kanan PAS - dilarang memasuki kawasan pejabat kerajaan negeri.
Tidak ada alasan yang diberikan secara rasmi bagi larangan berkenaan.
Untuk rekod pingat kebesaran Husam dan Abdul Rahim juga ditarik balik oleh pihak istana Kelantan.
Bagaimanapun
Husam kemudiannya diberikan pingat oleh kerajaan Melaka. Beliau juga
dilantik menjadi senator oleh Putrajaya dan secara tidak langsung
menjadi wakil kerajaan pusat di negeri yang ditadbir PAS itu.
Malah tegas bekas exco kanan Kelantan itu, sekiranya kerajaan negeri tidak membuat permohonan terbuka pihaknya mungkin akan mengemukakan saman malu dan tuntutan ganti rugi.
"Ia adalah tindakan politik untuk mengacau hak kebebasan mangsa-mangsa serta cubaan untuk memalukan pihak terlibat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan