HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2018

Program ganjaran kepada pemandu berhemah dipertimbang: Loke

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Kementerian pengangkutan sedia mempertimbangkan cadangan memberikan ganjaran kepada pemandu berhemah, kata menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata terdapat cadangan daripada beberapa pihak yang mencadangkan perkara tersebut dan kementeriannya bersedia bekerjasama melaksanakan mekanisme berkenaan untuk meningkatkan motivasi pemandu agar mengikuti peraturan jalan raya.

Katanya sebagai contoh Petronas sedang membangunkan aplikasi untuk memberi ganjaran kepada pemandu yang mempunyai skor yang baik.

“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan. Dalam tinjauan saya, Petronas maklumkan, mereka ada program memberikan ganjaran kepada pemanduan berhemat di jalan raya. Sebahagian daripada konsep itu akan diperkenalkan tahun hadapan.

“Mereka sedang bangunkan aplikasi untuk menilai gaya pemanduan ataupun pemandu. Bila kita menggunakan aplikasi tersebut, kita akan dapat penilaian sama ada kita ini pemandu yang baik atau tidak. Sebagai contoh, jika kita capai tahap tertentu kita akan mendapat rebat untuk petrol ataupun tol,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS’18) di sini hari ini.

Loke bagaimanapun percaya mekanisme yang bakal dilaksanakan itu perlu mempunyai pendekatan ‘carrot and stick’ atau ganjaran dan hukuman.

Justeru kerajaan kini juga sedang mempertimbang cadangan menggunakan mekanisme ketersambungan semua maklumat pemandu termasuk insurans dan cukai jalan.

“(Ini) Bermakna maklumat akan link-up dengan semua maklumat insurans mereka. Jika mereka ada saman yang tidak dibayar mereka tidak akan boleh memperbaharui cukai jalan atau insurans mereka,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai isu kereta luar yang dipasarkan di Malaysia tidak mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan, Anthony berkata tidak timbul sebarang isu dalam hal tersebut.

Ini kerana semua kereta luar yang hendak dipasarkan di Malaysia mesti mengikut piawaian dan undang-undang yang ditetapkan.

“Setiap kereta luar yang hendak dijual dan berada di atas jalan di Malaysia memerlukan kelulusan undang-undang dan piawaian JPJ, Miros. Kereta tersebut juga memerlukan kelulusan VTA (Vehicle Type Aprproval),” katanya.

KLIMS’18 kali ini yang menghimpunkan pelbagai jenama automotif mensasarkan 350,000 pengunjung dan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dari 23 November hingga 2 Disember 2018.

Bertemakan “Beyond Mobility”, KLIMS’18, satu pameran penjenamaan di mana pelbagai jenama auto berhimpun mempamerkan penawaran produk terkini, penguasaan automotif dan wawasan kejuruteraan mereka.

Antara jenama yang mempamerkan kenderaan mereka termasuk Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, Kawasaki, motosikal Honda, selain 3M, produk penjagaan kereta Elite Looks, aksesori kereta Good life, pelincir High-tech, produk prestasi dan penyenggaraan kereta Kakimotor, NVK Interiors dan V-Kool.– Bernama

Tiada ulasan: