THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa beliau ada menghubungi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas.
Najib berkata beliau sering berhubung dengan Anwar untuk bertanya khabar sepanjang Anwar ditahan di penjara Sungai Buloh.
“Hubungi Anwar (malam 9 Mei) memang ada tanya khabar secara peribadi,” katanya satu wawancara dengan Penasihat Editorial Karangkraf Datuk Abd Jalil Ali yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Sinar Harian pagi ini.
Najib berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Abd Jalil sama ada benar bahawa beliau menghubungi Anwar pada malam 9 Mei lepas.
Dalam pada itu, Najib berkata beliau tidak mempunyai perancangan untuk ‘membeli’ wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sejurus kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 lalu.
Malah, katanya, beberapa pemimpin utama BN termasuk bekas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menggalas tanggungjawab presiden parti datang ke rumahnya pada malam keputusan itu, namun langsung tidak menyentuh usaha menarik anggota Parlimen PH.
“Kami tak bincang nak curi atau nak beli mana-mana wakil rakyat PH untuk mereka menyeberang sebelah kita (BN),” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata UMNO perlu lebih berani menjadi pembangkang konstruktif dan membina di Parlimen dengan terus memperjuangkan kepentingan rakyat khususnya golongan anak muda.
Beliau berkata pemimpin parti tunjang BN itu perlu sentiasa berlapang dada menerima kritikan dari pihak lawan dalam masa ketika BN tidak lagi memerintah negara ini.
“UMNO perlu terus jadi lidah dan suara rakyat dan terus menjadi pembangkang konstruktif dan efektif,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan