ICERD merupakan ringkasan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau dalam Bahasa Melayu, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.
Isu ini laksana batu besar yang dihempas
ke dalam lubuk air yang tenang dan disangkanya tiada buaya. Apabila
dihempas menampakkan semuanya, muncul di permukaan air segala yang ada
di dalam lubuk itu. Rupanya ada buaya, ular, belut, ikan besar dan kecil
termasuk sampah sarap yang menyampah.
Ada yang membuat kenyataan yang tegas
dan berani, ada juga yang berpura-pura dan ada yang menunjukkan
kebodohannya. Lebih malang ada juga yang menunjukkan sikap oportunis,
laksana menangguk di air yang keruh bagi mengangkat diri umpama ‘political animal’, yang boleh hidup di semua alam.
Huraiannya, ada yang menyatakan dengan
tegas wajib ditolak dan mustahil dilaksanakan dengan maksud bagi menutup
pintu. Ada juga yang memberi jalan lagi pada masa akan datang apabila
tiba masa yang sesuai, mafhumnya tidak menolak ICERD.
Rasulullah S.A.W. memberikan panduan kepada penganut Islam yang beriman dan budiman:
مَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ“Sesiapa yang mahukan keredhaan Allah walaupun dimarahi manusia, nescaya Allah meredhainya, dan Allah menjadikan manusia meredhainya. Barangsiapa yang mahukan keredhaan manusia walaupun dimurkai Allah, nescaya Allah murka terhadapnya dan dijadikan manusia juga memarahinya”. (Riwayat At-Tirmizi)
Tegasnya bahawa kita wajib menolak dan
mengharamkan ICERD selama-lamanya, kerana kita mempunyai takrif yang
merdeka daripada pengaruh penjajah dan jahiliah khususnya terhadap
perkataan diskriminasi, hak, keadilan dan kebenaran.
Takrif kita mengikut ilmu mantiq (asas
ilmu falsafah yang betul) disebut jami’ dan mani’, bermaksud mencakupi
maksud yang sebenar dan menolak perkara yang tidak benar kepada sesuatu
istilah bagi sesuatu takrif.
Maka takrif diskriminasi, hak dan
keadilan mengikut fahaman kita yang beragama Islam, bahkan semua yang
beragama adalah berbeza dengan kalangan yang tidak beragama. Kita tetap
berkeyakinan bahawa takrif kita adalah relevan sepanjang zaman.
Adil mengikut takrif kita ialah
meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka amatlah wajar diletakkan hak
istimewa kepada kaum tertentu bagi menampung kelemahan yang berlaku
seperti memberikan hak istimewa kepada kaum Bumiputera kerana
dipinggirkan pada zaman penjajah. Dalam masa sama, tanpa menafikan hak
kaum lain yang masih banyak terbiar. Selain itu juga, memberi hak
istimewa kepada kaum wanita kerana peranannya menjaga anak yang tidak
boleh dilakukan oleh kaum lelaki.
Apa yang dicatat dalam Perlembagaan
Persekutuan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan.
Ketetapan ini tidaklah tersasul seperti teori Barat yang dibanggakan
oleh pengikutnya sehingga memelihara hak asasi binatang dengan melupakan
hak asasi manusia.
Berlaku di Amerika Syarikat, negara yang
dianggap paling menjadi contoh dalam kalangan yang memperjuangkan
konsep tersebut (diskriminasi, hak dan keadilan), kini meletakkan kaum
penduduk asal yang dinamakan 'Red Indian' itu sudah dilupakan, kerana
mereka dibiarkan hidup dalam keadaan dipinggirkan daripada pembangunan
serta dibiarkan di tepi jalanan.
Berbanggakah wanita kita sehingga
dijadikan bahan iklan barangan murah? Bermula daripada kalangan yang
mahu menjual sabun, rokok dan kertas tisu, sehinggalah kereta berjenama
yang paling tinggi harganya, tetapi dipaparkan gambar wanita untuk
dieksploitasikan.
Ada dalam kalangan yang buta Al-Quran
dan Hadis membuat kenyataan bahawa hak istimewa tidak disebut di dalam
kedua-dua sumber syara’ itu. Hakikatnya di dalam Al-Quran telah dinaskan
hak istimewa daripada bahagian Dzil Qurba (keluarga Rasulullah S.A.W.) yang diharamkan menerima zakat tetapi dibolehkan dari sumber yang lain.
Al-Quran juga menyebut hak istimewa anak
yatim. Begitu juga hak orang bukan Islam tidak diwajibkan zakat harta
yang tidak boleh dihapuskan kewajipannya terhadap orang Islam, tetapi
mereka boleh dikenakan cukai yang boleh dihapuskan apabila tiada
keperluan.
Ada juga hadis yang memberi hak istimewa
kepada wanita Islam yang meninggalkan solat tetapi tidak diwajibkan
qadha’, kerana keuzuran bulanan yang menjadi nalurinya, tiada pada kaum
lelaki dan lain-lain lagi.
Peruntukan di dalam Perlembagaan
Persekutuan sedia ada yang berkaitan halangan melakukan diskriminasi
terhadap bukan Islam yang berkonsepkan hak keadilan dan persamaan, sudah
memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara kita yang lebih baik
berbanding daripada ICERD. Oleh yang demikian, kita sudah merasai betapa
keamanan telah wujud di negara ini, tanpa peduli terhadap perakus yang
sentiasa mahu memuaskan hawa nafsunya sahaja sehingga mengganas dengan
sifat fanatik yang melampau. Apa yang berlaku adanya kelemahan dalam
aspek pelaksanaan, boleh diselesaikan dengan cara kita tersendiri, yang
tidak memerlukan kita mengubah perkara dasar.
Islam adalah agama rasmi bagi
Persekutuan dan hak beragama lain telah menjadi kontrak sosial yang
sudah mencukupi mengikut nalurinya. Umat Islam wajib menolak konsep
liberal yang menyamakan semua agama, kerana sifat semua penganut agama
wajib percaya bahawa agamanya sahaja yang benar, bukan dianggap agama
yang dianutnya sama sahaja dengan agama lain. Maka perlu difahami
perbezaan di antara menegakkan kebenaran terhadap agama masing-masing
dan hak kebebasan menganut agama masing-masing.
Begitu juga konsep Barat yang
menghalalkan LGBT dengan menganggap berlaku diskriminasi jikalau kita
mengharamkannya kerana kepercayaan semua agama mengharamkannya
disebabkan bercanggah dengan fitrah kejadian manusia. Kalau diizinkan
boleh menyebabkan merebaknya penyakit yang sangat berbahaya kepada
individu, keluarga dan masyarakat. LGBT hanya layak di negara yang tidak
beragama.
Adapun kepada kita, adalah menjadi
keyakinan bahawa mengiktiraf ICERD laksana menebuk lubang dinding rumah
kita bagi memberi laluan kepada nyamuk aedes masuk ke dalam rumah kerana
hanya melihat pembiakannya daripada air yang bersih, tanpa menyedari
terhadap bahayanya yang boleh membawa maut.
Ini bukan sekadar menyelamatkan rumah
yang kecil, tetapi menyelamatkan kedaulatan umat dan negara. Anggaplah
mereka daripada kalangan yang membawa dan memperjuangkannya adalah
petualang yang wajib disanggah dan ditentang.
Akhirnya, ICERD adalah agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.
Rasulullah S.A.W. bersabda:لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ“Berwaspadalah, nanti kamu akan dipengaruhi mengikut jalan yang salah, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggalah kamu diajak masuk ke dalam lubang biawak, kamu ikut juga (sehiggalah kamu sesat binasa)”. (Muttafaqun ‘Alaih)
Maka umat Islam, umat yang beragama,
kaum Bumiputera dan semua bangsa hendaklah bersatu menentang agenda
ICERD, kerana konsepnya yang sebenar tidak beragama dan berkemanusiaan.
Jangan terpengaruh dengan Barat yang sudah meninggalkan agama dan etika
kemanusiaan yang sebenarnya.
“Islam Memimpin”
*ABDUL HADI AWANG, Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan