‘Memancing’ wakil rakyat adalah perkara biasa pada setiap pilihan raya di mana-mana negara, kata Tan Sri Annuar Musa.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata walaupun ia perkara biasa, namun beliau tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan parti itu cuba membeli ahli parlimen PH.
“Perkara itu (pilihan raya) sudah berlalu dan kita perlu memandang ke hadapan. Saya tidak pasti kenapa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, membangkitkan isu ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, pada Rabu.
Mahathir dalam temubual bersama majalah Mekong Review mendedahkan terdapat cubaan memancing ahli parlimen Islam PH beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan secara rasmi enam bulan lalu.
Perdana Menteri berkata, berikutan itu, PH berdepan ‘masalah dari dalam’ pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika ditemui enggan mengulas berhubung kenyataan Mahathir itu.
Sebaliknya, beliau meminta pihak media supaya bertanyakan sendiri kepada Mahathir mengenai dakwaan terbabit.
“Tanya beliau (Mahathir), tanya beliau, tanya beliau,” katanya berulang kali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan