HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 November 2018

'Malaysia takkan terperangkap dengan politik kebencian'

MALAYSIAKINI

   

Rakyat Malaysia tidak akan mudah-mudah terperangkap dengan politik kebencian yang cuba disemai, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad.

Mengulas mengenai insiden rusuhan yang mengancam nyawa seorang anggota bomba, Raja Bahrin berharap ia menyedarkan rakyat Malaysia bagi mengelak suasana yang tidak sihat berterusan.

"Berpuluh tahun kita membina Malaysia dengan baik dan aman. Marilah kita terus memelihara keharmonian berbagai agama dan bangsa dengan menjaga kata-kata serta perbuatan.

"Masa depan anak dan cucu kita di negara yang dicintai ini terlalu berharga dan cerah potensinya untuk dimusnahkan oleh penghasut-penghasut yang tidak bertanggungjawab ini," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dalam rusuhan di Kuil Sri Mariamman, di Subang Jaya, anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah diserang perusuh.

Muhammad Adib yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Subang Jaya dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Susulan kejadian itu polis telah menahan lebih 20 individu setelah 23 kenderaan dibakar dalam rusuhan dua hari berturut-turut itu.

Sementara itu Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau berkesempatan berjumpa dengan keluarga Muhammad Adib apabila pergi ziarah beliau di hospital petang semalam.

Menurutnya, walaupun berdukacita atas situasi kecederaan ke atas Muhammad Adib, keluarga itu kelihatan tenang dan bersabar menghadapi dugaan tersebut.

"Keluarganya dan juga kami dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akan mengadakan solat hajat secara beramai-ramai untuk keselamatan dan kepulihan beliau.

"Saya berharap semua pihak berdoa untuk keselamatan dan pemulihan semula Muhammad Adib," jelasnya.

Tambah beliau, perkataan, emosi dan perbuatan yang keterlaluan hendaklah dikawal dan dihindari demi menjaga perasaan sesama rakyat Malaysia apa jua situasi kita hadapi.

"Kebelakangan ini terlalu banyak ucapan dan perbuatan yang membakar semangat telah di buat tanpa memikir sensitiviti rakyat serta akibatnya.

"Walaupun kerajaan mengingatkan supaya menghargai kebebasan yang diamalkan oleh kerajaan hari ini, tetapi nampaknya ada pihak mengambil kesempatan sikap keterbukaan kebebasan untuk berkata-kata yang negatif untuk masyarakat.

"Sesuatu situasi ganas tidak akan tercetus begitu sahaja tanpa pembakar perasaan yang membolehkan terledaknya perbuatan kasar," kata Raja Kamarul Bahrin.


Tiada ulasan: