HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Kerjasama PAS dan UMNO ikut keperluan semasa – Mohd Amar

THE MALAYSIAN TIMES



KOTA BHARU: Kerjasama PAS dan UMNO ketika ini adalah mengikut keperluan dan perkembangan semasa sahaja, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata tidak timbul PAS akan terpalit dengan masalah yang berlaku dalam UMNO sebelum ini.

“Setakat ini kerjasama kita lebih kepada PRK sahaja… akan datang kita tidak tahulah. Kita ada plan jangka panjang dan dasar, jadi tindakan kita bergantung kepada perkembangan semasa.

“Macam baru-baru ini kita nampak ada keperluan dalam PRK Cameron Highlands jadi kita berkerjasama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa menyifatkan hubungan kedua-dua parti itu bukan lagi rahsia seperti mana yang selalu dinafikan.

Husam juga melihat langkah PAS menjalin kerjasama dengan UMNO tanpa asas yang jelas boleh menyebabkan perjuangan parti itu jadi sia-sia.

Katanya, PAS perlu memastikan hubungan kerjasama politik yang terjalin dengan UMNO ketika ini tidak menjadi seperti kerbau yang menyelamatkan buaya tersepit, akhirnya buaya yang makan kerbau.

Mengulas hasil kajian Ilham Centre yang PAS akan mendahului UMNO dan parti lain sebagai pelindung kepada isu Melayu dan Islam, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata ia satu perkembangan positif.

Katanya pengiktirafan itu menunjukkan masyarakat mula menyedari segala pendekatan dan usaha Pas yang mengamalkan dasar membangun bersama Islam selama ini.

Namun katanya dalam masa yang sama PAS perlu terus membuktikan ia sebuah parti yang membela Islam dan berupaya memberi kebaikan kepada semua termasuk bukan Islam.–Bernama


Jangan gaduh sesama sendiri, Daim nasihat menteri Kabinet

THE MALAYSIAN TIMES
 



SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin hari ini menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Beliau berkata meskipun difahami bahawa kesemua menteri Kabinet adalah baharu, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya mereka disarankan supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu-padu.

“Mereka (menteri Kabinet) memang baharu. Selama 50 tahun jadi pembangkang tetapi apabila menang (Pilihan Raya Umum ke-14) sama-sama, mereka masih bergaduh sesama sendiri.

“Saya sudah beritahu banyak kali, enam bulan bolehla jika hendak bergaduh. Kalau lepas tu masih nak bergaduh, lama-lama rakyat makin muak,” katanya pada program Luncheon Talk: Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan di Universiti Teknologi Mara, di sini.

Oleh itu kata beliau, adalah lebih elok sekiranya barisan menteri fokus untuk bekerja sebagai satu pasukan dengan penjawat awam dan pelbagai agensi di bawah kementerian masing-masing kerana mereka mempunyai kebolehan serta kelulusan yang baik.

“Ada menteri buat kerja tanpa minta pandangan. Apabila ini berlaku, penjawat awam ini akan lepas tangan. Ini antara punca mengapa banyak perkara gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Daim menyifatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan hampir 50 tahun lepas untuk memberi segala bantuan dan sokongan kepada kaum Melayu gagal mencapai matlamatnya apabila pada masa kini, majoriti daripada kaum itu masih ‘kais pagi, makan pagi’.

Beliau berkata kira-kira 75 peratus daripada golongan berpendapatan rendah (B40) terdiri daripada kaum Melayu yang masih bergantung kepada subsidi kerajaan untuk meneruskan hidup.

Disebabkan itu tegas beliau, sesetengah orang Melayu seharusnya bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka masih terkebelakang walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai polisi untuk membantu golongan tersebut.

Malah katanya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini diagihkan kepada rakyat juga telah menjadi ‘candu’ apabila terus ditagih kebanyakan masyarakat Melayu.

“Cash telah menjadi King. King itu mesti ada berbilion Ringgit…King menjadi penipu dan pencuri.
Sedangkan penyokong ‘kangkong’ terus menyokong King. Rakyat naik benci, cash ke mana, king ke mana.

“Rakyat mahukan pemimpin yang beramanah, bertanggungjawab, pentingkan rakyat dan negara.
Maka, pada 9 Mei 2018 (Pilihan Raya Umum ke-14), rakyat telah bebaskan rakyat dan rakyat merdeka semula,” katanya.

Umno perlu adaptasi saranan NACP

 
   
ULASAN | Baru-baru ini, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Antara lain, pelan itu bermatlamat untuk memperkukuhkan aspek integriti merentasi semua bidang di Malaysia, seterusnya menjadikan negara ini bebas daripada gejala rasuah pada satu hari nanti.

Pelan ini mencadangkan beberapa strategi berkaitan penerapan nilai-nilai integriti dan langkah-langkah penambahbaikan berkaitan pembanterasan gejala rasuah, dengan menjadikan politik sebagai salah satu daripada sektor utamanya.

Untuk itu, Umno sebagai sebuah parti politik paling lama dan paling besar dalam negara perlu menerima pelan ini dengan matang, jujur dan secara terbuka.

Umno perlu berjiwa besar untuk menerima seterusnya meneliti setiap cadangan serta langkah-langkah penambahbaikan yang dikemukakan dalam pelan ini, khususnya yang melibatkan sektor politik.

Beradaptasi pada pelan ini adalah peluang serta kesempatan terbaik Umno untuk mengubah tanggapan dan memperbetul persepsi umum terhadap nilai dan amalan selama ini.

Peluang ini juga sebenarnya wajar dimanfaatkan parti untuk seterusnya meyakinkan rakyat bahawa Umno kini dalam proses berubah dan bakal kembali tampil dengan wajah baru melalui penekanan kepada soal nilai, etika dan integriti sebagai naratif utama yang mendasari parti.

Oleh yang demikian, Pemuda Umno Pasir Gudang mencadangkan agar sebuah jawatankuasa kerja di peringkat pusat dan negeri ditubuhkan untuk mengadaptasi saranan-saranan yang terkandung dalam NACP tersebut.

Memandangkan Umno juga kini dalam proses mendapatkan maklum balas dan pandangan untuk meminda beberapa perkara dan fasal dalam perlembagaan parti, Pemuda Umno Pasir Gudang ingin mencadangkan agar saranan yang terkandung dalam NACP wajar diambil kira dan dijadikan sebahagian daripada inputnya.

Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno dipengerusikan oleh Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin.


NOOR AZLEEN AMBROS ialah ketua Pemuda Umno Pasir Gudang.


Cara lihat isu Yadim bukti PAS makin sempit, kata DAP

MALAYSIAKINI

   

Pendirian keras PAS yang terus mengecam pelantikan Sheikh Omar Ali menjadi salah seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menjadi bukti parti berkenaan kini membawa elemen sempit, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Menurut Sim selama ini memang PAS kelihatan gemar menghukum bahawa sesiapa saja yang tidak bersama mereka sebagai penentang Islam.

Pada masa sama katanya Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah tidak lagi mempedulikan fakta yang ada sebaliknya selesa mengikut skrip dibawa Umno.

"DAP sudah berkali-kali menyatakan pendiriannya tentang Islam sebagai agama rasmi dan ia dinyatakan dengan ketika Deklarasi Shah Alam 2012.

"Mesej deklarasi tersebut turut diusung oleh PAS sendiri yang ketika itu bersama Pakatan Rakyat demi untuk membetulkan pembohongan Umno kononnya DAP anti-Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Sim mengulas mengenai kenyataan Mohd Amar yang mempersoalkan kewajaran Sheikh Omar menyertai Yadim dan menyandarkan hujah itu kepada perlembagaan DAP yang "mempertahankan negara sekular dan banyak menentang agenda Islam."

Kerajaan kini dikecam sesetengah pihak berhubung pelantikan seorang Adun DAP dari Johor, Sheikh Omar Ali, sebagai salah seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Yadim.

Untuk rekod Sheikh Omar memiliki ijazah usuluddin dari Universiti Malaya dan pernah menjadi aktivis PAS.
Yadim mempunyai seramai 10 anggota Lembaga Pemegang Amanah. Daripada jumlah itu Sheikh Omar - seorang exco Johor - menjadi satu-satunya wakil yang dilantik daripada DAP.

Anggota lain yang turut dilantik menyertai badan itu ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Abdul Rahim, dan bekas presiden pertubuhan itu Dr Muhammad Razak Idris.

Jawatan yang dipertua pula disandang anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Kata Sim DAP menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan, termasuklah Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Sim yang juga anggota parlimen Bukit Mertajam menambah, DAP tidak menjadikan Sheikh Omar sebagai seorang yang menjauhi Islam.

"Bahkan ia membuktikan bahawa DAP berjaya menampilkan salah seorang pemimpinnya - dalam kalangan ramai lagi pemimpin Melayu muda - yang mampu membela Melayu-Islam," katanya.


'Macam nak kata Mujahid, Sheikh Omar itu iblis pula'

MALAYSIAKINI

   

Pemimpin politik termasuk agamawan diingatkan supaya tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan melampau terhadap wakil rakyat Paloh Sheikh Omar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof dengan melabelkan mereka sebagai musuh Islam atau musuh Allah.

Exco agama Kedah Ismail Salleh melalui kenyataan dari unit komunikasinya berkata, istilah tersebut dalam kecaman Islam merujuk kepada iblis dan para musyrikin dan memusuhi agama.

"Tak cukup dengan suuzzan buruk sangka yang melampau terhadap kerajaan Pakatan Harapan seperti yang dizahirkan oleh Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, ramai dari kalangan warga maya,
termasuk dari kalangan pimpinan parti politik dan golongan agamawan telah 'terlajak lidah' dengan melabelkan Sheikh Omar dan Mujahid sebagai 'musuh Islam' atau 'musuh Allah.'

"Apakah para warga maya termasuk agamawan dan pemimpin ingin menyatakan bahawa Mujahid dan Sheikh Omar adalah iblis atau mereka ingin memusyrikkan kedua-dua tokoh tersebut?

"Jangan mudah sangat dan jangan ringan lidah sangat!" kata kenyataan itu menerusi posting di akaun Facebook Mujahid.

Terdahulu, pelantikan Sheikh Omar sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim mendapat kritikan beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang yang bimbang dengan latar belakang beliau sebagai ahli DAP.

Bagaimanapun, Mujahid sebelum ini mempertahankan pelantikan itu daripada kritikan dan menjelaskan bahawa ia dibuat atas kelayakan Sheikh Omar.

Kenyataan itu turut berkata bahawa kritikan itu merupakan pemikiran yang bahaya kerana ia sepatutnya ditangani melalui hujahan dan bukannya emosi.


Azmin kini pengerusi MTNg Kelantan

MALAYSIAKINI

   

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, dilantik mengetuai Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu dipersetujui Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"MTNg diwujudkan di setiap negeri sebagai badan utama peringkat negeri yang bertanggungjawab memastikan keputusan Majlis Tindakan Negara (MTN) dapat dilaksanakan.

"Untuk Kelantan, perdana menteri bersetuju untuk melantik Azmin Ali sebagai pengerusi berkuat kuasa 1 Januari, " kata kenyatan yang dikeluarkan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) JPM.

Menurut kenyataan itu, MTNg akan bertindak sebagai platform penyelarasan utama bagi keputusan dasar berkaitan penyelarasan perancangan, pemantauan dan pengesanan perancangan dasar dan projek pembangunan serta intensif semasa kerajaan persekutuan di peringkat negeri.

Justeru, bagi memastikan segala projek pembangunan yang dirancang di negeri Kelantan berjalan lancar, kerajaan persekutuan berharap kerajaan negeri dapat memberi kerjasama sepenuhnya.

"Ini penting bagi memastikan usaha keras kerajaan persekutuan untuk membawa pembangunan fizikal dan insaniah ke seluruh jajahan di Kelantan dapat memberi impak optimum kepada negeri dan rakyatnya.

"Komitmen kerajaan persekutuan untuk melonjakkan pembangunan Kelantan adalah jelas apabila diletakkan sebagai sebuah negeri yang diberi keutamaan dalam pengagihan peruntukan pembangunan," jelas kenyataan itu.


Tak bayar gaji, syarikat sarung tangan akan diheret ke mahkamah

MALAYSIAKINI

   

Sebuah syarikat pembuat sarung tangan akan dibawa ke mahkamah berhubung dakwaan tidak membayar gaji dan kesalahan berkaitan yang lain.

Ia susulan siasatan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia selepas 2,000 pekerja warga Nepal syarikat itu membuat mogok tiga hari.

"Pendakwaan akan dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang dan memberi peringatan kepada majikan lain," kata JTK dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu bagaimanapun tidak memaklumkan peruntukan undang-undang yang akan digunakan terhadap syarikat tersebut.

Sejumlah 2,000 pekerja WRP Asia Pacific Sdn Bhd - syarikat pembuat sarung tangan di Sepang, Selangor - melancarkan mogok awal minggu ini dan mendakwa mereka sudah tiga bulan tidak mendapat gaji.

JTK dimaklumkan tentang mogok itu oleh polis pada 29 Januari lalu.

Ia berkata telah berkunjung ke premis syarikat bersama wakil Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kedutaan Bangladesh dan Kedutaan Nepali bagi mengenal pasti punca mogok.

"Siasatan mendapati sebab utama mogok pekerja adalah kegagalan majikan membayar gaji mereka dari November 2018 hingga Januari 2019."

Antara kesalahan lain yang turut dikenal pasti, kata jabatan itu lagi, ialah lewat membayar upah lebih masa dan potongan upah tidak sah.

Selepas berbincang dengan pengurusan syarikat, katanya lagi, WRP Asia Pacific setuju untuk membayar gaji dan upah lebih masa yang tertunggak secara berperingkat, dengan bayaran akhir pada 28 Februari.

Disember lalu, siasatan The Guardian mendedahkan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England menggunakan sarung tangan perubatan yang dibuat di kilang-kilang Malaysia dengan menggunakan pekerja asing yang didakwa menjadi buruh paksa.

Menurut laporan itu, para pekerja dikerahkan kerja lebih masa, terikat perhambaan hutang, bayaran gaji ditahan dan pasport mereka disita majikan.

WRP dan satu lagi syarikat pembuat sarung tangan utama dinamakan dalam laporan itu.

Tiga daripada 19 buruh yang ditemubual oleh The Guardian bekerja untuk WRP dan mereka mengadu mengenai kerja lebih masa yang melampau, rampasan pasport dan penahanan bayaran gaji secara tidak sah.


MASZLEE : JANGAN BERETORIK – KHALID NORDIN

Wartawan Watan-Online

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek tidak perlu menyampaikan aspirasi bersifat retorik dan perlu segera menyelesaikan isu kritikal dalam pendidikan di Malaysia terutamanya aspek pendidikan tinggi negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ucapan Amanat Menteri Pendidikan 2019 lalu dilihat memandang sepi senario ketidaktentuan pendidikan tinggi negara seperti isu autonomi universiti awam yang masih belum jelas.

Katanya kemajuan usaha kerajaan terdahulu untuk menyelesaikan isu autonomi universiti dilihat terbantut dengan tindakan-tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap membelakangkan kebebasan autonomi yang dirancang sebelum ini.

“Yang nyata, banyak sekali pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah, Ahli-Ahli Lembaga, Naib Canselor serta pegawai tinggi IPTA yang dilakukan berdasarkan pertimbangan politik dan membelakangkan autonomi universiti untuk melakukan proses pelantikan yang telus, bertanggungjawab dan berwibawa,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Khaled Nordin berkata Maszlee turut gagal menjelaskan mekanisme kewangan pendidikan untuk dinikmati orang ramai walaupun mengenegahkan isu mengenai pendidikan untuk semua dan pendidikan sepanjang hayat.

Katanya menteri pendidikan tidak menyatakan halatuju PTPTN dalam menjadi institusi pembiayaan pendidikan tinggi utama negara yang diperlukan oleh rakyat untuk melanjutkan pelajaran.

“Akses dan ekuiti tanpa PTPTN adalah cita-cita mustahil untuk dilaksanakan. Tidak sedikitpun disebut, diulas atau dinyatakan apakah pelan dan rancangan kementerian kepada pTPTN dalam konteks hala tuju pendidikan Malaysia.

“Atau memang menteri tidak mahu mendepani kegagalan kerajaan PH menunaikan segala janjinya berkaitan PTPTN yang sehingga saat ini, gagal dilaksanakan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Khaled turut menasihati Maszlee untuk berhenti beromantisisme mengenai impian lampaunya dan segera bertindak menyelesaikan segala masalah dalam bidang pendidikan yang dilihat tidak mendatangkan kemajuan signifikan selepas kerajaan PH mentadbir negara.

“Malaysia memerlukan penyelesaian paling komprehensif terhadap pendidikan anak bangsanya, bukan mendengar cerita tentang cita-citanya Maszlee sewaktu remajanya mahupun menyaksikan pemaparan cerita sentimentalis menteri dengan bekas gurunya hingga bercucuran air mata keduanya.

“Lakukan aksi “romantisisme” di kelainan acara dan bukan dalam kesempatan yang wajar untuk mengungkapkan misi nasional yang lebih segar untuk pendidikan bangsa, putera dan puterinya,” tegas Khaled.


GERAKAN KECEWA KENYATAAN PUAD ZARKASHI

Wartawan Watan-Online

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau mengakui kecewa dengan kenyataan Ketua UMNO Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang didakwa sebagai tidak sedar diri.

Dominic berkata Puad tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap Gerakan dan MCA pasca kejatuhan UMNO-Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Katanya kenyataan berbaur perkauman seperti dilontarkan Puad menjadi punca BN ditolak oleh rakyat pelbagai kaum pada PRU-14 lalu.

“Saya ingin mengingatkan Mohd. Puad bahawa Gerakan bukan berada di bawah BN. Oleh itu, atas kapasiti apa beliau boleh memberi arahan kepada kami supaya berbuat demikian? Ini adalah sebuah negara demokrasi yang memberi hak untuk memilih kepada semua.

“Kekalahan yang dialami oleh BN semasa PRU-14 kerana semua rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India bertindak menolak BN kerana mereka sudah bosan dengan gelagat sesetengah pemimpin yang sering mengunakan isu perkauman bagi meraih undi.

“Rakyat kini lebih berminat tentang isu ekonomi dan kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan mereka,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan Puad Zarkashi dalam kenyataan berkata MCA dan Gerakan jangan bersikap terlalu besar kepada dan perlu memberi ruang kepada UMNO untuk bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kemenangan.

Mengulas lanjut, Dominic memberi peringatan kepada semua pemimpin BN agar menghentikan segera sebarang kenyataan perkauman kerana boleh menambahkan kebencian rakyat terhadap mereka.

“Jika Puad betul-betul berpendapat dengan membuat kenyataan yang berbaur perkauman ini boleh mendatangkan undi dan kemenangan, beliau tidak akan kalah pada PRU-13 dan BN masih gagal memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat pada PRU-14 meskipun kawasan itu adalah kerusi majoriti Melayu,” katanya.


Jurulatih China bebas tuduhan rogol atlet terjun negara

MALAYSIAKINI

   

Bekas jurulatih pasukan terjun kebangsaan Huang Qiang yang didakwa merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita di Kompleks Akuatik Sukan Negara dua tahun lalu, hari ini menarik nafas lega apabila dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu.

Hakim Noradura Hamzah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Huang, 37, di akhir kes pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini.

“Mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan,” kata hakim itu setelah mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan pada prosiding perbicaraan kes itu yang bermula 19 Jan 2018.

Pada 11 Okt 2017, Huang yang berasal dari China dan telah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan merogol mangsa di dalam gim kering, Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, Cheras, di Kuala Lumpur pada 5.30 petang, 26 Sept 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 9 April 2018, Huang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun pada 31 Okt 2018, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Huang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KVasugi manakala Huang diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.- Bernama


Kempen Pemilikan Rumah: Diskaun 10 peratus untuk unit terpilih

 
   

Rakyat Malaysia berpendapatan rendah yang layak untuk memohon skim Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia yang diumumkan baru-baru ini, akan menikmati lebih potongan harga sehingga akhir Jun tahun ini.

Ia susulan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini bahawa syarikat pemaju yang menyertai skim itu kini menawarkan potongan harga 10 peratus untuk Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign, HOC) 2019.

Kempen itu inisiatif bersama kerajaan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara KN Jayaselan berkata ada sejumlah 3,384 rumah berharga bawah RM150,000 yang masih belum dijual di seluruh negara.

Beliau berkata, rumah itu boleh dibeli oleh mereka yang berminat dengan HOC 2019.

"Seluruh negara, ada sejumlah 16,528 rumah berharga bawah RM150,000. 3,384 daripadanya belum dijual. Ia boleh dibeli melalui kempen ini," katanya ketika ditemui pemberita di sidang media pengumuman Lim, hari ini.

Di bawah skim Dana Rumah Mampu Milik, rakyat Malaysia berpendapatan isi rumah RM2,300 dan ke bawah layak mendapat pinjaman dengan kadar pembiayaan maksimum 3.5 peratus setahun, untuk membeli rumah berharga Rm150,000 ke bawah.

Skim ini dilancar Lim pada Selasa lalu, bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah pertama.

Lim berkata banyak rumah berharga RM150,000 ke bawah tidak terjual kerana mereka yang berminat membelinya sukar mendapat pinjaman.

Hari ini, Lim berkata kerajaan juga akan mengecualikan duti setem untuk surat cara pindah milik (S&P) dan perjanjian pinjaman bagi rumah berharga sehingga RM1 juta.

Bagi kategori rumah berharga sehingga RM2.5 juta, Lim berkata pembeli perlu membayar tiga peratus duti setem bagi baki RM1.5 juta harga rumah itu.

"Insentif ini satu lagi langkah selepas (kerajaan) mengecualikan SST untuk bahan pembinaan.

"Pemaju juga setuju untuk memberi diskaun minimum 10 peratus bagi rumah baru dalam usaha mengurangkan harga hartanah dan membantu menangani masalah hartanah tidak terjual.

"Ini tidak termasuk rumah yang dikawal harganya, seperti perumahan kos rendah dan sederhana," katanya lagi.


Yadim: Lantikan politik PH persis janji orang munafik


Oleh Athirah Huda Zalhe
 

Bolot jawatan GLC, agensi kerajaan bukti kerakusan puak Islam PH kutip hasil rampasan perang pasca kemenangan PRU14: Pemuda Isma




BANGI– Tidak sampai setahun memerintah, janji manifesto Pakatan Harapan yang kononnya tiada lantikan politik untuk jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan telah disampahkan, persis janji orang munafik, kata Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Farid Hussin.

Beliau berkata, polemik pelantikan ahli-ahli politik sebagai anggota lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bukti kerakusan puak Islamis PH mengutip ghanimah (harta rampasan perang) pasca kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, satu persatu jawatan di GLC dan agensi kerajaan ‘dihadiahkan’ kepada pejuang parti-parti komponen, walaupun ramai lagi individu lain yang lebih layak dalam kalangan teknokrat, ahli akademik atau golongan agamawan.

“Dahulunya mereka inilah yang bersungguh-sungguh membongkar skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan terdahulu dan kononnya merekalah yang paling suci dan berintegriti, ironinya sekarang puak ini juga yang rakus merebut segala posisi dan kedudukan yang ada, mengalahkan pahlawan yang mengumpulkan harta ghanimah selepas perang.

“Malah, lebih tamak jika dibanding dengan kerajaan terdahulu sehingga mahu membolot hampir kesemua jawatan yang ada tanpa mengira kesan buruk kepada institusi-institusi berkenaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sejak kelmarin, isu pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim kecoh di media sosial apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengesahkan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Sheikh Omar Ali untuk mengisi salah satu jawatan berkenaan.

Bukan sahaja pelantikan wakil rakyat Paloh itu dipertikaikan, bahkan kesemua lantikan dalam agensi di bawah kerajaan itu dipersoalkan oleh ramai pihak kerana didominasi individu yang mempunyai kaitan politik.

Enam individu dari Parti Amanah Negara (PAN) iaitu Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz; timbalannya, Zolkharnain Abidin; Datuk Abdul Ghani Shamsuddin; Ahmad Sayuti Bashiron; Shamsul Ma’arif Ismail dan Maznah Daud.

Dua lagi membabitkan wakil PKR iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan seorang wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Samsu Adabi Mamat dan seorang wakil DAP, Adun Paloh, Johor Sheikh ‘Umar Bagharib Ali.

 Turut dilantik sebagai ALPA Yadim ialah wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim dan seorang ahli akademik, Dr Muhammad Razak Idris.

Mengulas perkara itu, Muhammad Farid berkata, lantikan ALPA seolah-olah kerajaan sudah ketandusan pakar, tokoh agama mahu pun ahli akademik lain yang lebih layak.

“Yang lebih memalukan, suatu badan yang sepatutnya mempertahankan dan mengembangkan dakwah Islam di tanah air, tanpa segan silu melantik wakil daripada parti rasis dan cauvinis DAP sebagai salah satu ahli pemegang amanah.

” Alang-alang, kenapa tak lantik terus al-fadhil Lim Guan Eng, ‘umar abd aziz era malaysia baru’? Barulah padan dengan dakyah rahmatan lil kafirin versi PH,” katanya.



'Muhammad Alif tiba-tiba suka tidur atas sejadah ..." - Ibu bayi ditemui lemas tersembam dalam baldi

Nur Fazlizai Ali, Astro Awani
'Muhammad Alif tiba-tiba suka tidur atas sejadah ..." - Ibu bayi ditemui lemas tersembam dalam baldi
Kata Nor Azizah sebelum kejadian itu dia sempat memberikan anaknya yang berusia satu tahun enam bulan itu makan Milo dan menjadi makanan terakhirnya. - Foto Astro AWANI
 
 
KUALA NERUS: Bayi lelaki yang ditemui lemas di dalam baldi di rumah keluarganya, kerap berulang-alik ke bilik air dan menunjukkan beberapa kelakuan pelik tiga hari sebelum kejadian.

Bagaimanapun ibunya Nor Azizah Ismail tidak menyangka anak bongsunya Muhammad Alif Ridwan Wahab akan meninggalkan mereka semua.

Katanya sebelum kejadian itu dia sempat memberikan anaknya yang berusia satu tahun enam bulan itu makan Milo dan menjadi makanan terakhirnya.
 
“Dua tiga hari ini macam pelik sikit dengan kelakuan dia macam selalu pegang tangan saya, tidak mahu berpisah, saya hendak pergi kerja memang dia menangis, ikutkan makan pun dia kurang sikit. Malam dia ada tidur atas sejadah, saya tak ada rasa apa-apa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: 'Saya jumpa bayi muka dah biru, tersembam dalam baldi' - Bapa

 
Sebelum kejadian itu Nor Azizah sempat memberikan anaknya yang berusia satu tahun enam bulan itu makan Milo dan menjadi makanan terakhirnya. - Foto Astro AWANI
Sebelum kejadian itu Nor Azizah sempat memberikan anaknya yang berusia satu tahun enam bulan itu makan Milo dan menjadi makanan terakhirnya. - Foto Astro AWANI

Beliau berkata sebelum kejadian, dia bersama beberapa lagi anaknya sedang tidur di ruang tamu dan ketika terjaga anaknya itu tiada di ruangan tersebut.

“Saya rasa macam hendak bangun masak nasi saya terus bangun. Saya tanya mana adik, tak tahu, saya pergi dapur, terpandang ke sebelah kiri tengok anak saya dalam baldi, kaki di atas.

“Masa itu saya terus ambil anak saya bawa pergi klinik dengan naik motor. Masa itu memang saya tidak sempat hendak naik kereta, anak yang sulung dukung adik naik motor, sampai di klinik saya rayu selamatkan anak saya, saya sanggup bayar berapa pun,” katanya lagi.

Nor Azizah Ismail tidak menyangka anak bongsunya Muhammad Alif Ridwan Wahab akan meninggalkan mereka semua. - Foto Astro AWANI
Nor Azizah Ismail tidak menyangka anak bongsunya Muhammad Alif Ridwan Wahab akan meninggalkan mereka semua. - Foto Astro AWANI

Dalam kejadian Selasa itu seorang bayi lelaki ditemui lemas di dalam baldi di bilik air rumah keluarganya  di Kampong Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampong Gong Sentul, Kuala Nerus  pada jam 10 malam tadi. 
 
 

Bendung pembaziran, didik masyarakat hargai air

Bernama
Bendung pembaziran, didik masyarakat hargai air
Jika kenaikan tarif air dilaksanakan, rakyat pasti mengharapkan hasil lebih baik termasuk tiadanya gangguan atau catuan bekalan air mahupun isu air tidak berkualiti dan kotor. - Gambar hiasan


SETIAP individu di Malaysia secara puratanya menggunakan lebih 200 liter air sehari.

Jumlah itu adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar purata penggunaan air yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 165 liter sehari bagi setiap individu.

Isu berhubung penggunaan air secara berlebihan oleh rakyat negara ini bukanlah perkara baharu malah sering dikaitkan dengan sikap masyarakat sendiri.

Pelbagai kempen kesedaran telah digembling pihak kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan tetapi, malangnya, masih belum cukup meninggalkan kesan apatah lagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Antara saranan yang biasa didengar ialah 'jimat dan hargai air', 'tutup paip semasa menggosok gigi' dan 'tutup pancuran air semasa menggunakan sabun ketika mandi'.

Ia mungkin dianggap sebagai pesanan ringkas dan mudah. Tetapi, berapa ramaikah antara kita yang berjaya mematuhi usaha menghargai sumber alam itu?

Adanya tarif murah, percuma

Berkongsi pandangannya, Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai tarif air paling rendah di dunia.

Kadar tarif air di negara ini adalah RM 0.52 sen bagi setiap meter padu berbanding negara jiran, Thailand yang mengenakan caj pada kadar lebih RM1 dan Singapura kira-kira RM3.

"Mungkin rakyat rasa air murah malah ada yang memperolehnya secara percuma. Jadi, bila sumber murah dan mudah didapati, rasa tanggungjawab pun kurang sekaligus membawa kepada pembaziran.

"Ia menjadi faktor kepada sikap tidak hemat masyarakat dalam menggunakan sumber berkenaan.

"Rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 210 liter air sehari. Ini bermakna setiap daripada kita telah membazirkan hampir 50 liter air, melebihi daripada apa yang disarankan. Bayangkanlah pembazirannya berdasarkan jumlah rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya tarif air di setiap negeri juga dikenakan pada kadar berbeza.

Rakyat Selangor menikmati 20 meter padu air secara percuma sejak Jun 2008 melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilaksanakan di negeri itu.
Di Pulau Pinang pula, purata tarif air domestik merupakan yang terendah di Malaysia iaitu pada kadar 32 sen setiap 1,000 liter namun, negeri itu juga merekodkan penggunaan air terbesar dalam negara dengan setiap individu secara puratanya menggunakan sehingga 280 liter air sehari pada 2017.

Rakyat mengharapkan bekalan air yang berkualiti. - Gambar hiasan
Rakyat mengharapkan bekalan air yang berkualiti. - Gambar hiasan

Bendung pembaziran

Baru-baru ini Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan tahun ini bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri air daripada aspek perkhidmatan.

Sekiranya dilaksanakan, kenaikan itu akan dibuat secara berperingkat dan dijangka tidak membebankan rakyat.

Kerajaan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga akan berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum ia dilaksanakan.

Namun, cadangan menaikkan tarif air itu disambut dengan pelbagai reaksi termasuk kebimbangan bahawa ia akan membebankan rakyat.

Ini kerana, rakyat sedang berusaha menangani peningkatan kos sara hidup yang merangkumi kenaikan harga barang dan perkhidmatan lain.

"Saya melihat langkah ini sebagai kaedah untuk mendidik rakyat agar menggunakan air secara berhemat. Pembaziran yang berlaku memang ada kaitan dengan kos. Kita dah buat macam-macam kempen tapi masih lagi orang tak hargai sebab mereka rasa air murah.

"Kita lihat rakyat boleh bayar bil telefon, bil elektrik dan pelbagai bil lagi. Tapi bila kerajaan mahu menaikkan kadar tarif air, ramai yang bising tidak bersetuju walaupun untuk kebaikan," kata Xavier.

Sikap jadi punca

Sekiranya kenaikan tarif air dilaksanakan, rakyat pasti mengharapkan hasil lebih baik termasuk tiadanya gangguan atau catuan bekalan air mahupun isu air tidak berkualiti dan kotor.

Pada masa sama, rakyat juga tidak perlu ragu untuk minum air terus daripada paip kerana yakin ia selamat walaupun telah ditekankan sebelum ini bahawa kualiti air paip Malaysia sudah melalui proses saringan dan pembersihan di loji tapisan serta selamat diminum.

Yang Farina berkata 'pulangan' bagi kenaikan tarif air haruslah sebegitu tetapi ia tetap berbalik kepada sikap masyarakat sendiri.

"Bila kita sebut nak air yang berkualiti, ia sebenarnya berbalik kepada rakyat. Lihatlah sungai kita, berapa banyak yang tercemar? Contohnya di kawasan Selangor, Loji Rawatan Air (LRA) Langat dan LRA Semenyih sudah beberapa kali ditutup akibat pencemaran bau yang berlaku di Sungai Semantan dan Sungai Semenyih. Siapa yang buat kalau bukan masyarakat?

"Penutupan loji akan mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan berdepan gangguan bekalan air. Saya dapati banyak pencemaran berlaku di Sungai Langat kerana masyarakat sesuka hati membuang sampah termasuk minyak ke dalam sungai," katanya.

Menurutnya barang-barang yang dibuang ke dalam saluran longkang juga akan 'sampai' ke sungai sekali gus menjejaskan sumber bekalan air minuman.

Mengulas isu air paip tidak bersih dan berwarna kuning, beliau berkata ia bukan disebabkan tidak dirawat dengan baik tetapi berpunca daripada penggunaan paip yang sudah lama, bocor atau sebab lain.

"LRA mempunyai kawalan kualiti yang sangat ketat dan diletakkan di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan dengan 42 parameter yang ditetapkan. Justeru itu, apabila air dirawat dan keluar dari loji, ia memang mempunyai kualiti yang sangat tinggi.

"Tetapi, lama-kelamaan paip menjadi usang. Akibatnya, ada kebocoran dan akan dimasuki tanah atau bahan lain...inilah yang menyebabkan air menjadi kuning," katanya.


Jika kita tahu akan nilai setiap titik air yang bersih, masihkah kita hendak membazir? - Gambar hiasan
Jika kita tahu akan nilai setiap titik air yang bersih, masihkah kita hendak membazir? - Gambar hiasan

Lebih banyak penyelidikan

Cadangan kenaikan tarif air turut memberi peluang kepada agensi terlibat menjalankan lebih banyak penyelidikan dan program kemasyarakatan bagi mendidik dan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu air.

Ini kerana pada masa ini, dengan kadar tarif air yang murah, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh syarikat konsesi.

Mengenai bahan-bahan pencemar yang semakin banyak, Yang Farina berkata penyelidikan oleh universiti tempatan menunjukkan kehadiran bahan pencemar yang bukan sahaja menjejaskan air laut malah sungai serta seluruh ekosistem termasuk hidupan darat.

"UKM telah menjalankan penyelidikan ke atas air sungai bagi melihat kesan produk farmaseutikal dan kita menemukan sisa paracetamol. Ramai yang mengambil paracetamol sebagai ubat sakit kepala atau ubat menahan sakit. Paracetamol tidak seratus peratus diserap badan sebaliknya akan dikeluarkan melalui urin dan ia tidak boleh dirawat (jika masuk ke loji) kerana kaedah rawatan air kita masih konvensional," katanya.

Menurutnya Malaysia kini mengaplikasikan kaedah rawatan konvensional kecuali di LRA di Kelantan yang menggunakan kaedah rawatan ozon untuk merawat air.

Teknologi terkini yang tidak menggunakan bahan kimia itu melibatkan LRA Pintu Geng, LRA Kampung Chap (Bachok), LRA Perol, LRA Wakaf Bharu dan LRA Merbau Chondong (Machang).

Yang Farina berpendapat dalam usaha mendapatkan kualiti air yang baik, pihak berkenaan perlulah melakukan lebih banyak kajian dan penyelidikan untuk mengetahui apa yang terdapat di dalam sungai selain menambah baik kaedah rawatan bagi memperoleh air yang selamat dan berkualiti.

Akta Air Minum Selamat

Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) T. Saravanan pula berkata meskipun segelintir rakyat 'melatah' dengan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan termasuklah cadangan kenaikan tarif air, masih ramai yang memahami peri pentingnya kenaikan itu untuk jangka masa panjang.

"Tarif air perlulah dinaikkan di setiap negeri bagi memperkasa minda bahawa air adalah amat berharga dan tidak ternilai. Kita patut menghargai air.

"Air minum yang selamat adalah keperluan asas bagi mengekalkan kesihatan awam dan menyokong usaha mewujudkan masyarakat sihat. Oleh itu, mekanisme sewajarnya mesti dilaksanakan untuk memastikan adanya air minum yang selamat demi melindungi kesihatan awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya diperkenalkan akta berkaitan air minum yang selamat bagi melindungi orang awam daripada ancaman kesihatan akibat penggunaan air minum yang tidak mematuhi tahap kualiti yang ditetapkan.

"Sejak 2003, Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa diwujudkan Akta Air Minum Selamat untuk memastikan pengguna mempunyai akses kepada air yang selamat dan melindungi bekalan air minum awam di seluruh negara. Undang-undang ini perlu mempunyai pengawal selia yang bertanggungjawab untuk menetapkan standard kesihatan minimum bagi air paip dan memastikan semua pemilik atau pengendali sistem air awam mematuhi piawaian ini.

"Pertubuhan Bangsa Bersatu juga menganggap akses kepada air bersih adalah hak asasi manusia sejagat dan merupakan langkah penting bagi meningkatkan taraf hidup di seluruh dunia. Oleh itu, kerajaan mestilah memastikan air yang selamat dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Sehingga kini, kebanyakan kerajaan negeri sudah menyatakan persetujuan untuk menaikkan tarif air tahun ini.

Kadar kenaikan itu bagaimanapun masih dalam perbincangan memandangkan setiap negeri mempunyai kadar tarif berbeza termasuk ada yang tidak pernah menyemaknya selama berpuluh-puluh tahun.

SUARAM, SUHAKAM gesa 142 kanak-kanak ditahan di bawah POCA dibebaskan

Rahimah Abdullah, Astro Awani
SUARAM, SUHAKAM gesa 142 kanak-kanak ditahan di bawah POCA dibebaskan
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). Gambar Rahimah Abdullah
 
 
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, kesemua mereka sepatutnya dikenakan undang-undang lain dan bukan POCA yang banyak memberi kesan trauma kepada kanak-kanak berkenaan. 

“Penahanan ini ada dua, satu dalam pusat tahanan. Satu lagi kawasan perintah. Jangan dolak-dalik kata tidak tahan. Memang ada ditahan dalam kawasan perintah. Itupun kena bebas. SUARAM menggesa semua tahanan juvana tanpa bicara ini dibebaskan segeara.Kalau pihak polis ada bukti kukuh bahawa dia adalah seorang penjenayah tegar, kalau jenayah kecil, dia sudah dijatuhkan hukum tanpa bicara. Jadi, bebaskan segera,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Malah, kerajaaan digesa memberikan jumlah sebenar kanak-kanak yang belum atau sudah dibebaskan sehingga hari ini.
 
Katanya, selepas dibebaskan, kanak-kanak itu perlu diberikan pampasan sepatutnya.

"Kerajaan baru ini kalau mereka komited mereka perlu bebaskan semua dan membayar pampasan sewajarnya," ujarnya.

Dalam pada itu SUARAM bertegas bahawa peranti pemantauan elektronik (EMD) tidak sepatutnya dipasang pada kaki kanak-kanak yang disiasat di bawah POCA kerana ia memberi kesan emosi kepada mereka.

"Dalam kes ini, walaupun 142, tetapi sebab penyalahgunaan kuasa oleh polis, mereka guna pakai sahaja sebab dulu mereka kata nak guna POCA untuk penjenayah tegar sahaja. Kalau betul ada yang cuba membunuh, bawalah dia ke mahkamah guna undang-undang sewajarnya, dan bukan POCA," tambahnya.

Badan bukan kerajaan itu juga mencadangkan tahanan juvana berkenaan diberikan program rehabilitasi khas bagi membantu mereka.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph menegaskan, penahanan pesalah juvana di bawah POCA adalah tidak selaras dengan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak  Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kita bersetuju ikut piawaian konvesnyen. Dalam konvensyen itu menyebut tiada seorang kanak-kanak yang boleh diperlakukan dengan hukuman penjara. Bawah 18 tahun tidak sepatutnya diletakkan di dalam penjara dewasa. Carilah alternatif lain untuk menempatkan mereka di tempat lain. POCA dilihat sebagai pilihan pertama dan bukan pilihan terakhir terhadap pesalah juvana," kata beliau lagi.

Malah beliau menyifatkan penjara di Malaysia adalah tidak sesuai untuk menempatkan kanak-kanak.

"Pemantauan kita, kanak-kanak ini ada yang ada penyakit kulit. Kualiti makanan juga tidak elok untuk mereka dan juga tahanan 60 hari reman itu juga tidak sepatutnya dibuat ke atas mereka," tambah beliau. 
 
 

Inisiatif kurang beri impak, kebanyakan rumah masih di luar kemampuan

Bernama
Inisiatif kurang beri impak, kebanyakan rumah masih di luar kemampuan
Soal kemampuan kekal menjadi masalah besar dan berdasarkan kaji selidik, 92 peratus rakyat Malaysia mahu memiliki rumah sendiri. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan untuk menangani masalah hartanah tidak terjual dan menggalakkan pemilikan rumah disambut baik dan disokong oleh banyak pihak, namun sesetengahnya berpendapat kebanyakan rumah masih kekal di luar kemampuan, menurut pemerhati pasaran.

Misalnya, pelancaran dana RM1 bilion untuk rumah mampu milik bagi membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara amat dialu-alukan, namun sesetengah pihak mengharapkan ia memberi impak minimal dalam membantu pemilikan rumah.

Kenanga Reseach dalam notanya baru-baru ini berkata usaha itu sepatutnya memberi impak minimal sehingga sifar ke atas rumah yang dibina oleh pemaju perumahan swasta.

Dengan pelancaran rasmi dana RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pembeli rumah pertama dijangka menikmati pengurangan sehingga 23 peratus dalam komitmen bulanan berbanding skim pembiayaan sedia ada ditawarkan di pasaran.

"Bagaimanapun, kami berpendapat skim pembiayaan lebih rendah sepatutnya memberi impak minimal sehingga sifar terhadap pembangunan swasta oleh pemaju senaraian dengan mengambil kira kebanyakan produk mereka berharga di atas RM150,000," katanya.
 
Tahun lepas, BNM dalam laporannya menyatakan Malaysia berdepan kekurangan rumah mampu milik untuk orang ramai dan data standard antarabangsa menunjukkan rumah-rumah pada 2016 adalah "amat di luar kemampuan".

Bank pusat menganggarkan harga maksimum rumah mampu milik adalah RM282,000, berdasarkan pendekatan kos bebanan perumahan, tetapi median harga rumah sebenarnya adalah RM313,000.

Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, unit kediaman yang sudah siap dan tidak terjual meningkat kepada 30,115 unit setakat 30 Sept, 2018, iaitu naik sebanyak 48.35 peratus daripada 20,304 unit pada tahun lepas.

Nilai keseluruhannya RM19.54 bilion, meningkat 56.44 peratus daripada RM12.49 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, jika apartmen perkhidmatan dan pejabat kecil pejabat rumah dimasukkan, hartanah tidak terjual akan mencecah 40,916 unit bernilai RM27.38 bilion.

Sementara itu, Pengurus Negara PropertyGuru Sheldon Fernandez berkata terlebih bekalan dalam pasaran hartanah lebih tertumpu pada rumah lebih mahal, sama ada rumah bertanah atau bangunan tinggi, walaupun lebih tertumpu pada kondominium dan apartmen.

Beliau berkata soal kemampuan kekal menjadi masalah besar dan berdasarkan kaji selidik, 92 peratus rakyat Malaysia mahu memiliki rumah sendiri.

"Dengan itu, Dana BNM untuk rumah mampu milik hanya menawarkan penyelesaian bagi rumah berharga sekitar RM150,000. Bagaimanapun, menurut penyelidikan PropertyGuru, ramai yang mencari rumah di bawah harga RM300,000," katanya.

Menurut Indeks Pasaran PropertyGuru, Fernandez berkata pasaran berada dalam situasi terlebih bekalan di kawasan utama negeri kerana harga rumah yang baru dilancarkan tidak sepadan dengan tahap pendapatan orang ramai.

"Isu tiada kenaikan gaji berbanding harga hartanah yang terus meningkat merupakan perkara serius dan memerlukan penyelesaian ekonomi makro," katanya.

Indeks Pasaran PropertyGuru bagi 2018 turut menunjukkan berlaku terlebih bekalan dalam pasaran dengan harga permintaan terus mencatatkan penurunan sebanyak 2.3 peratus tahun ke tahun.

"Kami sentiasa menekankan bahawa kadar faedah lebih rendah akan dapat meningkatkan keupayaan pembiayaan dan pembayaran balik rakyat Malaysia, dan adalah sesuatu yang amat baik untuk melihat ia diterjemahkan dalam dana itu pada 3.5 peratus setahun.

"Kami sedang menunggu untuk melihat lebih banyak inisiatif strategik daripada kerajaan dalam perkara ini, dan kami menyokong inisiatif kerajaan dari segi swasta dan awam perlu saling bekerjasama untuk menangani isu kemampuan di Malaysia," katanya. -- BERNAMA 
 
 

Bekas pekerja akui ‘tertekan’ jadi suri rumah

Persepsi masyarakat yang sering menganggap menjadi suri rumah 
adalah mudah dan tidak memenatkan perlu diubah sama sekali. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika wanita itu pernah memiliki kerjaya sebelum ini.

Bekas pakar perunding, Hazdiana Bahari, mengakui pernah timbul rasa kesal dalam dirinya selepas berhenti kerja.

Hazdiana, 45, yang mesra dengan panggilan Dian berkata kerjayanya sebagai pakar perunding bagi membantu pembelajaran dan pembangunan pekerja di sebuah syarikat terkemuka di Malaysia, membuatkannya merindui kerjaya itu lebih-lebih lagi selepas 16 tahun bekerja.

“Keputusan untuk menjadi suri rumah merupakan satu keputusan yang sangat berat kerana ketika saya berhenti kerja, karier saya sebenarnya sedang berada di puncak.
Hazdiana Bahari.
“Tapi atas desakan yang tinggi, saya perlu memilih jalan tersebut bagi memastikan keluarga saya terjaga,” katanya kepada FMT.

Menceritakan perkara itu, Dian berkata keputusan berhenti kerja kerana kerjaya itu memerlukannya kerap bekerja di luar kawasan.

Perkara itu menjadi lebih sukar lebih-lebih lagi suaminya juga sering berada di luar negara atas urusan kerja.

Katanya, fokusnya pada ketika itu hanyalah kepada 5 anaknya yang masih belajar dan memerlukan perhatian daripadanya.

“Pada ketika itu pula saya alami kesukaran untuk mencari pembantu rumah bagi menguruskan rumah dan anak-anak saya. Jadi ia menyebabkan saya tidak boleh fokus dengan kerjaya saya dan buat keputusan untuk berhenti,” katanya.

Dian mula bekerja sejak 1997 sejurus pulang daripada melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di London dengan berbekalkan ijazah pertama dalam jurusan ekonomi dan sains politik.

Dia mula menjadi suri rumah sepenuh masa 5 tahun lalu ketika usianya mencecah 40 tahun.

Dian masih teringat tahun pertama beliau menjadi suri rumah, dia sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

“Masa tahun pertama jadi suri rumah saya memang sedih sebab tidak nampak apa-apa pencapaian dalam diri saya.

“Bila nak perkenalkan diri dengan orang luar pun saya rasa agak rendah diri untuk mengatakan saya adalah suri rumah.”

Dian berkata, persepsi masyarakat yang sering menganggap menjadi suri rumah adalah mudah dan tidak memenatkan perlu diubah sama sekali.

Mengakui dirinya kadang-kala tertekan dengan “kerjaya” barunya itu, Dian mengambil jalan untuk membentuk kumpulan sokongan bagi berkongsi masalah suri rumah.

Dian berkata kumpulan sokongan itu banyak membantu beliau untuk mendapatkan tips dan sokongan moral daripada mereka yang senasib dengannya.

“Kumpulan itu saya wujudkan sendiri di mana ia terdiri daripada rakan-rakan yang menuntut di universiti yang sama dengan saya dulu. Mereka ini semua macam saya, balik ke Malaysia, bekerja beberapa tahun dan kemudian menjadi suri rumah.

“Bila saya saya wujudkan kumpulan ini, ia sangat membantu saya dan rakan-rakan saya yang lain sebab di situlah saya banyak belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman menjadi suri rumah,” katanya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Suri Rumah Rahmah (SRR), 67% suri rumah yang berumur 45 tahun ke bawah berasakan cabaran paling besar dalam kehidupan suri rumah adalah pembangunan diri termasuk emosi serta imej dalam kalangan masyarakat.

SRR berkata persepsi yang mengatakan suri rumah tidak mempunyai tekanan hidup adalah tidak benar di mana golongan itu dianggap hanya duduk di rumah dan “tidak bekerja”.

Tiada sumber pendapatan

Seorang lagi wanita yang dahulunya bekerja dalam bidang media, mengakui kehidupannya berubah 360 darjah selepas menjadi suri rumah.

Zeanaaima Mohd Yusof, yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa selepas bekerja selama 9 tahun berkata pada awalnya dia gelisah dan tertekan selepas tidak lagi mempunyai sumber pendapatan yang tetap seperti sebelum ini.

Zeanaaima, 34, yang mesra dengan panggilan Kak Z berkata menjadi suri rumah memaksanya melupakan segala kehendak supaya 3 anaknya tidak mengalami sebarang kekurangan.
Zeanaaima Mohd Yusof.
“Saya berhenti bekerja pada Mei tahun lalu selepas syarikat yang saya bekerja tutup. Saya buat keputusan untuk tidak bekerja selepas itu dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Kak Z berkata, keputusannya menjadi suri rumah dibuat selepas mendapati dia kurang memberikan tumpuan dan masa kepada anaknya sepanjang tempoh bekerja.

“Masa saya kerja, anak-anak saya kurang mendapat perhatian saya. Pergi kerja pagi, balik dah malam dan anak-anak pun dah tidur. Saya agak sedih bila lihat mereka.”

Katanya, walaupun tertekan tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap, dia bagaimanapun tidak putus asa dan mencari pelbagai alternatif baru untuk membantu suaminya menjana pendapatan untuk keluarga.

Bermula dengan pergi ke kelas menjahit, Kak Z juga pergi ke kelas membuat kek.

“Sekarang saya dapat buat apa yang saya tak dapat buat dulu. Walaupun dah tak bekerja, namun saya ada mengambil tempahan kek selain membuat Grab untuk dapatkan duit poket sedikit,” katanya.

Bagi Kak Z, dia memahami keadaan apabila suri rumah mengalami tekanan mental. Namun katanya, perkara itu perlu diatasi dengan memikirkan anak-anak yang sedang membesar supaya mereka dapat diberikan kehidupan yang baik.

Katanya, suri rumah perlu “psycho” diri sendiri atau melakukan “self-motivation” supaya tekanan yang dialami mampu diatasi.

“Suri rumah tak boleh jadi katak bawah tempurung. Elakkan merasa diri kita tidak berguna, cuba gembirakan diri sendiri dengan buat benda yang kita suka.”