HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Januari 2019

Apabila perokok dilayan macam pelacur

 
   

ULASAN | Saya tidak pasti kekuatan politik perokok dalam menentukan menang kalahnya mana-mana parti di negara ini.

Tidak ada satu pun badan pemikir—lebih baik dipanggil “badan statistik” sahaja—yang dapat mengukur, apakah kemenangan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands kerana undi protes oleh perokok terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)?

Selalunya badan yang mendakwa mereka “pemikir” hanya mengukur keputusan sesuatu pilihan raya dari sudut isu-isu kaum—maka hasilnya juga berlegar tentang sentimen kaum sahaja.

Sedangkan perokok tak kira kaum. Ia melampaui warna kulit dan agama.

Melayu, Cina, India, orang asli dan lain-lain, semua ada yang merokok. Lantaran itu, undi protes kepada kerajaan PH yang dilihat melaksanakan dengan tergesa-gesa larangan merokok di premis makan, selepas selesai PRK Cameron Highlands, masih jadi misteri. Apakah suara perokok itu cukup kuat untuk mengalahkan calon PH? Wallualaham.

Sehari sebelum tarikh keluar mengundi di Cameron Highlands 26 Januari lalu, sebuah esei saya yang mengecam larangan gopoh itu terbit di Malaysiakini. Tajuknya, “Kalau perokok tidak undi PH lagi” .

Saya dapat merasakan yang saya meletakkan diri dalam risiko ketika menulis sebuah karangan yang dilihat sebagai satu pembelaan kepada perokok. Nanti akan ada yang menuduh saya tak faham bahawa merokok membahayakan kesihatan.

Maklumlah, dalam arena politik Malaysia, kejujuran bukan selalunya bagus. Lagi seseorang itu menjadi hipokrit dan munafik, berlagak maksum dan poyo, lagi dia dianggap ‘bijak’ dan selamat.

Namun jangkaan saya sedikit meleset. Rupa-rupanya tulisan pembelaan berkenaan mendapat perhatian.

Bukan sahaja yang mengecam—sepertimana yang diduga—tapi di kalangan yang memahami secara waras menyentuh hujah budaya yang saya bawa. Lebih memeranjatkan, yang ‘menyokong’ itu bukan sahaja di kalangan perokok, ada juga di kalangan yang tidak merokok.

Maknanya selama ini, menteri kesihatan cuma syok sendiri. Tanpa pemahaman terhadap budaya sesuatu masyarakat, sesuatu undang-undang yang dibuat akan pula menimbulkan satu lagi masalah lain. Undang-undang bukan penyelesaian kepada semua masalah.

Budaya yang melibatkan perokok dan yang tidak merokok di negara ini intinya adalah amalan tolak-ansur dan saling memahami. Kekuatan budaya itu melampaui undang-undang apa pun! Samalah sifat tolak ansur yang harmonis di kalangan penganut-penganut agama yang tidak boleh diatur atau dicapai dengan pemaksaan undang-undang.

Dua kelompok saling memahami

Contoh yang saya bawa ialah suasana biasa di restoran mamak dan kedai makan. Sejak puluhan tahun, kehidupan antara perokok dan yang tidak merokok tidak pernah mendatangkan masalah besar, menimbulkan ketegangan dan jauh sekali peperangan.

Kedua kelompok itu saling memahami. Boleh duduk semeja dan berbual-bual dengan mesra. Tanpa mengira bangsa.

Hanya apabila kerajaan dengan terburu-buru nafsu dan angkuh melaksanakan undang-undang larangan merokok, maka rasa tertindas pun timbul. Segelintir yang anti perokok tiba-tiba mendabik dada dan dengan angkuh mahu menggunakan larangan berkenaan untuk menyisihkan golongan yang tidak mereka sukai.

Di sebalik keangkuhan segelintir yang menggunakan alasan “asap dihembus ke muka anak sendiri,” dan seperti yang tidak saya sangka selama ini, ada juga mereka yang tidak merokok telah turut sama menegakkan akal yang sihat. Bagi mereka, perokok yang tidak mahu menghembus asap ke muka anaknya, mengapa dia difitnah hendak menghembus asap ke muka anak orang lain?

Apa yang lebih penting ialah, mengapa harus dihancurkan budaya saling memahami dan bertolak ansur hanya kononnya mahu berlagak sebagai negara maju?

Semua orang yang waras dapat melihat, ketika larangan dibuat, dalam waktu sama duit cukai perokok tetap dikaut! Tidakkah menteri merasa rendah hati bahawa sebahagian duit itu jugalah yang digunakan untuk membayar gaji menteri. Kemunafikan tahap dewa apakah ini?

Hujah yang lebih tajam ialah, sedangkan binatang seperti anjing pun boleh dibawa ke restoran, mengapa manusia hanya kerana dia merokok, dia disisihkan, dikenakan denda, diaibkan dan dihukum penjara.

Lebih membuktikan larangan kerajaan itu bersifat tidak manusiawi dan tidak demokratik ialah dalam waktu sama tidak disediakan pun kawasan khusus bagi perokok sepertimana yang selalunya wujud di negara-negara maju yang selalu diangkat sebagai model sebelumnya.

Ya, Malaysia mahu menjadi negara maju, tapi dengan sifat yang separuh-separuh. Lebih tepat lagi, Malaysia mahu menjadi negara maju, tapi dengan tidak memahami budaya masyarakatnya sendiri.

Semua mahu dibaratkan, diamerikakan atau dijepunkan. Kalau dalam perihal agama, semuanya mahu diarabkan.

Oleh itu, apakah pilihan yang ada pada perokok? Sebagai rakyat, bagi saya mereka perlulah akur dan patuh dengan undang-undang. Pergilah jauh tiga meter untuk merokok, dan tunjukkanlah teras moral yang tinggi walaupun dalam peraturan yang menjengkelkan.

Tak perlu kempen 'ayuh merokok'

Tetapi perokok juga sedar bahawa pilihan lain yang ada ialah pada undi yang menjadi hak dan kuasa mereka. Sifat perokok lazimnya tidaklah sampai perlu menjalankan kempen “ayuh merokok” sepertimana kempen-kempen isu hak asasi lainnya.

Hanya dalam diam, mereka tetap memprotes. Ketika perokok dipaksakan dengan undang-undang, ada saluran lain dan kuasa undi untuk tidak lagi memangkah pihak yang tidak faham dan mahu menghancurkan budaya.

Undi dan protes senyap itu sesungguhnya sangat bahaya. Lebih bahaya daripada semua isu perkauman sama ada yang dimainkan oleh DAP mahupun Umno; sama ada oleh PH mahupun BN.

Apa pun tawaran lain, janji-janji untuk memperbaiki ekonomi negara, melawan rasuah, menegakkan keadilan atau menangkap mereka yang terlibat dengan skandal 1MDB, tidak lagi berguna kepada perokok. Sejuta kali pun Najib Razak dihadap ke mahkamah selepas ini, tidak membawa apa-apa makna lagi.

Saya dapat merasakan bahawa bagi perokok keputusan dalam hati mereka sudah bulat, “PH harus diajar!”

Saya dapat merasakan perasaan itu ketika ditegur perokok yang tidak saya kenal di ceruk-ceruk tempat merokok yang hanya menyediakan tong sampah bercampur tahi gagak. Perokok yang saya temukan itu kelihatan bukan calang-calang orangnya melainkan mungkin di kalangan golongan profesional dan ada kelasnya sendiri.

Betapa perihnya hati mereka yang bersusah-payah menyokong PH tetapi kini mereka diperlakukan ibarat seorang pelacur. Atau mungkin juga lebih hina lagi.

Dan seperti pelacur, mereka hanya boleh makan-minum di restoran atau kedai makan. Untuk menjalankan aktiviti ‘pelacurannya’, mereka harus ke tempat lain yang jauh, tersembunyi dan bercampur tahi gagak. Menghisap rokok secara terang-terangan, ibarat melacur secara terang-terangan. Akan ditangkap dan boleh dihukum.

Dalam tempoh terdekat, ada dua lagi PRK di DUN Semenyih, Selangor dan Rantau, Negeri Sembilan. Saya bimbang berbuih pun pemimpin PH memburukkan Umno, PAS atau BN, perokok hanya ingin menghantar mesej lebih besar dan jelas supaya kerajaan dan pemimpin yang ada jangan jadi poyo, munafik atau biadab.

Poyo kerana PH dipilih untuk melaksanakan manifesto; munafik kerana di kalangan pemimpin PH sendiri ada yang merokok; dan biadab kerana PH tidak memahami budaya.

Kuasa undi itu tiada sesiapa yang mampu mengukurnya—walau sehebat mana pun kononnya sebuah badan pemikir. Perokok kini bergerak dalam sunyi, kerana mereka telah dipaksa tersisih ke tempat yang sepi. Sedangkan pelacur pun tidak diperlakukan sebegitu keji.


*HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.


Tiada ulasan: