HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2019

PRK Cameron: PAS dukung BN tuai hasil kerjasama

 
   
ANALISIS | Untuk pertama kali dalam sejarah gabungan pembangkang Umno dan PAS dalam pilihan raya memberikan kemenangan.

Selepas beberapa percubaan berakhir dengan kegagalan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands menyaksikan BN menang kerusi parlimen itu dengan memperolehi undi sebanyak 54.73 peratus.

Jumlah ini hampir sama dengan kadar peratusan undi yang diraih PAS dan BN ketika PRU14 di sana, iaitu 55,23 peratus.

Tahap motivasi anggota dan penyokong kedua-dua parti tidak pernah dilihat pada empat PRK sebelum ini, kecuali melibatkan calon parti mereka.

Sementara itu, calon BN pada kali ini, Ramli Mohd Nor bukanlah anggota mana-mana parti politik.

Selepas Ramli disahkan sebagai pemenang, Timbalan Presiden Umno yang memangku tugas presiden, Mohamad Hasan berkata kerjasama dengan BN menjadi antara sebab kemenangan itu.

Orang Asli, Melayu ramai keluar mengundi
 
Analisis keputusan awal menunjukkan Orang Asli paling ramai keluar mengundi.

Dianggarkan sebanyak 79.8 peratus di sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan majoriti pemilih berdaftar Orang Asli telah keluar mengundi. Di kesemua PDM ini undi Orang Asli berjumlah kira-kira 95 peratus.

Ini lebih tinggi daripada purata keluar mengundi bagi keseluruhan kawasan parlimen sebanyak 68.79 peratus.

Masyarakat Orang Asli masih terbukti menjadi penyokong kuat BN, yang merupakan kerajaan negeri Pahang. Ini walaupun jumlah undi gabungan itu dianggarkan turun daripada 95 peratus pada PRU14 menjadi 75.57 peratus ketika ini.

Peratusan keluar mengundi Melayu untuk pilihan raya kecil semalam dianggarkan sebanyak 70.46 peratus, sekali lagi lebih tinggi daripada purata seluruh undi di kawasan parlimen itu..
Pakatan Harapan turut mendapat pertambahan undi tetapi agak kecil (di bawah dua peratus) di semua PDM kecuali di satu pusat daerah mengundi dengan majoriti pengundi Melayu. Justeru PH tidak dapat mencabar kekuatan gabungan Umno dan PAS.

Sebaliknya, kadar peratusan keluar mengundi di kawasan majoriti kaum Cina dan India - di mana PH paling berjaya - berada di bawah purata keseluruhan di parlimen itu.

Peratusan keluar mengundi pemilih India paling rendah, barangkali mereka telah menukar tempat mengundi dari Cameron Highlands.

Di atas permukaan, strategi kempen BN berkisar kurang mengenai persoalan polisi tetapi lebih kepada soal kegagalan PH untuk mengotakan janji-janji pada PRU14.

Dari subuh sampai senja
 
Di belakang tabir, Umno dan PAS yang berkempen dari rumah ke rumah menyampaikan pesanan bahawa calon PH M Manogaran bukan dari kalangan mereka dan perlu ditolak.

Hampir setiap malam, BN dan PAS berganding bahu dalam majlis ceramah kelompok di kampung-kampung Melayu di kawasan parlimen itu dengan memberi amaran kenapa DAP menjadi ancaman kepada mereka.

Wawancara Malaysiakini bersama pengundi Melayu mendapati cubaan mengaitkan Manogaran dengan perusuh yang didakwa membunuh anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada November lalu.

Menyukarkan lagi keadaan bagi PH, masih tiada lagi pihak yang diadili atas kematian Adib.

PH telah menggembeling tenaga menteri dan timbalan menterinya, termasuk Perdana Menteri Mahathir Mohamad bagi melawan retorik perkauman BN.
Sukar untuk berhujah bahawa kehadiran Dr Mahathir dalam kempen pilihan raya kecil ini memberikan kesannya. Bagaimanapun, hal yang sama tidak dapat dikatakan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, yang secara tidak sengaja menjadi wajah kempen BN.

Najib kerap berkempen dari subuh sehinggalah senjakala, sering kali berhenti untuk berswafoto dan terlibat berineraksi dengan pengundi, sambil memaparkan imej baru "Bossku".


Bekas presiden Umno itu berulang kali menekankan budi dan jasa BN terhadap masyarakat setempat sambil itu menjadikan kesilapan kerajaan persekutuan sebagai bahan jenaka.

Beliau cukup berpengaruh sehingga mendapat perhatian pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang berterusan memberi amaran kepada pengundi bahawa kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands merupakan kemenangan untuk Najib.

Cukup menarik, walaupun Lim telah meramalkannya namun selepas keputusan diumumkan, belum ada lagi pemimpin kanan Umno yang memberikan penghargaan kepada Najib atas kemenangan ini.


Bagaimanapun, sumber yang dekat dengan Najib berkata bekas perdana menteri menerima banyak mesej tahniah dari rakan-rakan dan ahli parti selepas kemenangan itu disahkan.

Tiada ulasan: