HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Januari 2019

Ahli politik campurtangan urusan pentadbiran kerajaan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Antara isu dan cabaran utama yang perlu dihadapi dalam memerangi rasuah di negara ini adalah campurtangan ahli politik dalam pentadbiran dan kewangan kerajaan.

Perkara itu terkandung dalam dokumen Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Menurut dokumen itu, kebanyakan ahli politik dilihat mencampuri urusan pentadbiran dan kewangan kerajaan yang mana keuntungan peribadi dicapai walaupun dengan membelakangkan undang-undang dan peraturan.

Campurtangan itu kebiasaannya berlaku dalam proses membuat keputusan terutamanya melibatkan perolehan, proses pelantikan kerja dan sistem perundangan.

“Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejak tahun 2012 sehingga 2014, sejumlah besar kes direkodkan adalah sektor pembinaan melibatkan perolehan, contohnya, rundingan dengan orang tengah,” menurut dokumen itu.

Selain itu, kurangnya sokongan, komitmen serta kemahuan dalam kalangan kepimpinan politik untuk melaksanakan kawalan anti rasuah telah memberi kesan kepada kemampanan dan keberkesanan inisiatif anti rasuah yang dijalankan setakat ini.

“Antara inisiatif tertangguh yang diumumkan pentadbiran kerajaan terdahulu adalah pengenalan peruntukan salah laku penjawat awam, ketelusan dalam pengisytiharan aset dan dasar pengurusan hadiah oleh ahli pentadbiran (termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri) dan garis panduan yang betul mengenai pelobi, serta penandaan kuasa antara Menteri dan Ketua Setiausaha,” menurut dokumen itu.

Isu utama seterusnya, badan perundangan dan badan penguatkuasaan perlu diperkuatkan dan diubah menjadi badan bebas dengan kuasa penuh untuk melaksanakan fungsinya.

“Contohnya, SPRM seharusnya boleh melaksanakan fungsinya secara bebas dan berkesan tanpa gangguan bersifat politik. Campurtangan politik dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda menjadi penghalang terbesar kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara antara tahun 2015 dan 2016 dalam melaksanakan fungsi mereka,” katanya.

Selain itu, campurtangan politik telah mencetuskan kecelaruan pentadbiran yang membawa kepada penukaran pegawai pengurusan tertinggi SPRM.

Cabaran dan isu lain dalam memerangi rasuah adalah hukuman sedia ada bagi sebarang kesalahan berkaitan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) adalah hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan ia tidak memperuntukkan sebarang hukuman minimum kepada pesalah menyebabkan akta itu akan dilihat tidak kuat dan lapuk serta perlu dipinda.

Selain itu, kesan penularan rasuah dalam politik dan kerajaan telah mengakibatkan peningkatan ketidaksamaan pendapatan, kekayaan dan peluang.

“Kesan sebenar rasuah kepada masyarakat termasuk kenaikan kos sara hidup, kejatuhan kuasa beli, ketidakseimbangan kuasa, kesan ke atas upah, kesan ke atas pertubuhan dan peningkatan jenayah,” menurut dokumen itu

Isu lain adalah kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan yang disebabkan kekurangan sumber tenaga kerja, kemahiran, teknologi, kaedah dan sumber kewangan.

“Agensi-agensi kerajaan, sering kekurangan keupayaan untuk memeriksa, mengaudit dan mengkaji semua operasi dalam menjalankan aktivitinya,” katanya.

Selain itu, penggunaan teknologi yang terhad dalam memerangi rasuah perlu diberi pertimbangan oleh kerajaan dalam memastikan isu keperluan strategi teknologi diberikan penekanan bagi meningkatkan integriti dan kebertanggungjawaban ketelusan kerajaan, khususnya dalam bidang penguatkuasaan, perolehan, pelesenan dan perkhidmatan.

Rasuah juga menyebabkan kurangnya sokongan awam dan keyakinan dalam operasi kerajaan dengan menghakis sokongan orang ramai serta membantutkan keupayaan kerajaan untuk memenuhi tugas utamanya, bagi menyediakan perkhidmatan dan pembangunan yang kondusif.

Dalam pada itu, rasuah membawa ancaman keselamatan dan kedaulatan negara berikutan pintu masuk di sempadan negara sering menjadi sasaran kegiatan jenayah rentas sempadan yang mana kawalan sempadan menjadi longgar serta sering dikaitkan dengan tahap integriti lemah dalam kalangan pegawai.

“Dengan kemerosotan penguatkuasaan, jenayah rentas sempadan seperti terrrorisme dan jenayah terancang menjadi berleluasa sekaligus mengancam keselamatan nasional. Malaysia dilaporkan mengalami kerugian berbilion ringgit setiap tahun kesan kegiatan jenayah rentas sempadan haram,” menurut dokumen itu lagi..

Berdasarkan trend rasuah di Malaysia dalam tempoh lima tahun lepas (2013-2018), sektor awam dilihat sebagai sektor paling berisiko terlibat rasuah. Tahap risiko sektor swasta terlibat rasuah adalah rendah iaitu 17.06 peratus jika dibandingkan sektor awam jauh lebih tinggi iaitu 63.30 peratus.

NACP adalah satu daripada 61 inisiatif yang diputuskan kerajaan menerusi lima mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) sejak pembentukan kerajaan Pakatan Harapan yang bermatlamat menutup ruang dan peluang kepada sesiapa untuk terbabit rasuah.– Bernama

Tiada ulasan: