Pakatan Harapan (PH) Kelantan melihat kerjasama antara PAS dan Umno
hanyalah sia-sia kerana tidak mempunyai asas yang jelas, kata
pengerusinya, Husam Musa.
Bekas exco kanan kerajaan negeri
Kelantan itu mengibaratkan konteks kerjasama kedua-dua parti yang pernah
berseteru itu ibarat kerbau cuba menyelamatkan buaya yang tersepit.
"Tetapi
pada masa buaya tersepit dia minta tolong, apabila kerbau selamatkan
buaya yang tersepit, akhirnya buaya makan kerbau tersebut.
"Dalam
konteks Malaysia hari ini PAS dan Umno bekerjasama tanpa menjelaskan
asas-asas kerjasama mereka," katanya pada kepada media selepas program
dialog PH Kelantan bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di
Kota Bharu, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas
kerjasama PAS dan Umno yang dilihat semakin serasi di pentas politik
khususnya pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Ferbuari
lalu.
Kerjasama
itu membuahkan kemenangan buat BN dengan calonnya, Ramli Mohd Nor
mengalahkan calon PH, M Manogaran dengan undi majoriti 3,238 undi.
Mengulas
lanjut, Husam yang juga adalah naib presiden Amanah berkata, pada masa
lalu PAS meletakkan syarat ketika bekerjasama dengan parti Semangat 46
(S46) dan DAP.
"Syaratnya ialah S46 kena menerima Islam sebagai
addin, masa kerjasama dalam Pakatan Rakyat ia atas dasar DAP kena terima
PAS untuk meneruskan dasar-dasar PAS.
"Tetapi dalam kerjasama
dengan Umno, kita tidak pernah dengar apa-apa dasar, tidak ada satu asas
yang dikemukakan oleh PAS yang menjadi syarat kepada kerjasama.
"Dan
pada pendapat saya kerjasama seperti ini walaupun nampak ada kejayaan,
tetapi akhirnya dasar perjuangan PAS akan disia-siakan," katanya.
Husam
yang juga anggota Dewan Negara berkata, beliau gembira kerana selama
ini dituduh memfitnah adanya kerjasama PAS dengan Umno.
"Saya
dipecat pun kerana mendakwa adanya hubungan tersebut, tetapi hari ini
hubungan kerjasama PAS dan Umno sudah pun menjadi rahsia terbuka dan
kita melihat adanya video yang telah dimuat-naikkan oleh ahli PAS yang
tegar.
"Mereka bergembira dapat mengundi dacing. Jadi apa yang
saya sebut selama ini adalah benar dan hari ini ia menjadi realiti,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan