HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2019

Kami tewas kerana kempen ‘perkauman’ BN, kata PH


M Manogaran (duduk, tengah) bersama isterinya, Tanaletchmy 
dan Chiong Yoke Kong (dari kiri), Pengerusi DAP Pahang, Leong 
Ngah Ngah dan Wong Kah Woh.
 
CAMERON HIGHLANDS: Calon Pakatan Harapan di Cameron Highlands, M Manogaran menyalahkan kekalahannya kepada kempen perkauman Barisan Nasional (BN), tetapi berkata usaha dilakukan gabungan itu di kawasan Orang Asli lebih baik kali ini.

Beliau yang kalah kali ke-3 di Cameron Highlands berkata, PH melakukan lebih baik di kubu kuat BN seperti Jelai, walaupun gagal dalam usaha merampas kerusi Parlimen itu.

“Walaupun kalah, saya berpendapat ada perkara positif untuk diambil perhatian di sini.

“Kami telah menembusi kawasan Orang Asli, terutama di Jelai. Ia menunjukkan pada masa akan datang, kami akan memperolehi sokongan lebih baik di sana,” katanya dalam sidang media di bilik operasi DAP di Brinchang.

“Bahagian menyedihkan dalam PRK ini ialah BN menggunakan faktor kaum.

“Saya tidak salahkan pengundi, ini hanya akan menjadikan kami lebih kuat, Kami akan bekerja lebih keras untuk menunjukkan kepada rakyat kami melangkaui kaum dan agama.

“Kami ialah rakyat Malaysia dan akan memenangi Cameron Highlands pada masa depan.”

Calon BN, Ramli Mohd Nor yang meraih 12,038 undi menewaskan Manogaran yang mendapat 8,800 undi, kelebihan 3,238 undi.

Dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing memperoleh 314 serta 276 undi.

Ini adalah majoriti ke-2 tertinggi dimenangi BN selepas 2004, apabila calon MIC, S K Devamany mengalahkan calon DAP, J Apalasamy dengan majoriti 6,260 undi.

Manogaran berkata, walaupun wujud persepsi PH tidak mendapat sokongan masyarakat Orang Asli, tetapi jumlah undi yang diperolehi mereka lebih baik di kawasan terbabit.

“Prestasi kami lebih baik di kawasan Orang Asli yang mempunyai prestasi teruk pada pilihan raya umum lalu,” katanya merujuk Jelai.

Manogaran turut mengucapkan tahniah kepada Ramli dengan berharap ahli Parlimen baru itu akan berjuang untuk semua lapisan rakyat di Cameron Highlands.

Sementara itu, Adun Tanah Rata daripada DAP, Chiong Yoke Kong berkata peratusan keluar mengundi di Jelai meningkat kepada kira-kira 90% berbanding 60% pada pilihan raya umum ke-14.

Sehubungan itu, beliau tidak bersetuju peratusan keluar mengundi rendah mungkin menjadi punca kekalahan PH.

“Pengundi juga melakukan yang terbaik,” katanya sambil menambah 4 PRK sebelum ini mencatatkan peratusan keluar mengundi lebih rendah.

Beliau berkata, kemenangan BN kerana memainkan sentimen perkauman dalam kempen mereka.
“Dari hari ke hari, mereka berkempen mengenai bangsa dan agama.”

Pengarah kempen PH, Wong Kah Woh berkata, keputusan di Cameron Highlands tidak mengejutkan.
“Sejak hari pertama, kami bukan pilihan dalam PRK ini. Ia bukan kerusi mudah atau selamat bagi PH.”

Katanya, PH berjaya meningkatkan undi popular di beberapa kawasan Orang Asli, seperti Pos Sinderut yang mendapat 38.5% undi berbanding 24.5% pada PRU14.

Di Pos Lanai, katanya, sokongan PH meningkat daripada 0.9% kepada 27.7%, manakala Pos Lenjang meningkat daripada 9.9% kepada 28.6%, 8% kepada 34.65% di Pos Titom dan 8.9% kepada 27.9% di Pos Betau.

“Bagi 9 pos itu, 4 terletak di Tanah Rata dan 5 di Jelai, kami dapat 479 undi pada 2018, tetapi kini kami dapat 1,226 undi.”

Tiada ulasan: