HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2019

BN: Keputusan PRK isyarat rakyat tak puas hati pentadbiran PH

Mohamad Hasan (tengah) bersama Ramli Mohd Nor (2 dari kanan) 
dan penyokong BN pada sidang media selepas diumumkan menang 
di Cameron Highlands, malam ini. (Gambar Bernama)
 
CAMERON HIGHLANDS: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands ialah isyarat rakyat tidak lagi berpuas hati dengan pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Pastinya ini adalah kemenangan yang manis buat BN setelah 4 kali kita gagal di Balakong, Sri Setia, Sungai Kandis dan Port Dickson.

“Ini juga adalah pembakar semangat kepada jentera parti kita yang masih kerja kuat di bawah BN, walaupun kita tidak lagi tadbir kerajaan, tapi kita masih lagi terus berkhidmat untuk mensejahterakan rakyat.

“Saya yakin rakyat dah buka mata, rakyat dah buat ‘referendum’ dalam PRK Cameron Highlands, masing-masing terjemahkan rasa tak puas hati kepada PH tidak tepati janji dan ia benar-benar menghampakan rakyat.

“PH jangan ambil kesempatan, ini perasaan yang rakyat sedang hadapi sekarang ini,” katanya pada sidang media selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Cameron Highlands di SMK Sultan Ahmad Shah malam ini.

Ini adalah PRK ke-5 selepas pilihan raya umum ke-14 dan kali pertama BN selepas mengalami kekalahan mengejut pada 9 Mei tahun lalu.

BN mendapat majoriti 3,238 undi, tertinggi sejak pilihan raya umum 2008, 2013 dan 2018, iaitu 3,117 undi, 462 undi serta 597 undi.

Mohamad yang juga timbalan presiden Umno menjalankan tugas presiden, mengakui kemenangan besar BN ialah hasil kerjasama dengan PAS yang berkempen untuk memenangkan calon BN, Ramli Mohd Nor.

“Kerjasama, bantuan daripada PAS ,terutamanya dalam PRK sangat membantu BN kerana telah memberikan kepercayaan kepada kita. Ini adalah strategi terbaik untuk teruskan kerjasama bagi memastikan penyatuan ummah dapat diperkasakan.”

Sementara itu, Ramli yang menjadi ahli Parlimen Orang Asli pertama di negara ini, berjanji akan memberi khidmat terbaik untuk membela nasib penduduk di Cameron Highlands.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jentera-jentera BN, PAS, MIC dan MCA yang telah membantu saya.”

Tiada ulasan: