HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2019

Bantu rakyat keluar dari B40, bukan hanya beri wang tunai, kata pakar

Kerajaan digesa memberi bantuan yang benar-benar dapat mengeluarkan 
rakyat daripada kemiskinan. (Bernama pic)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya membantu rakyat keluar dari kategori golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), bukan sekadar mengagihkan wang tunai, kata pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Noor Azlan Ghazali.

Katanya, pemberian wang tunai tidak akan membantu golongan B40 dalam jangka masa panjang, malah akan menyebabkan rakyat bergantung kepada kerajaan.

“Ada 3 komponen sahaja yang memberi kesan kepada 60% hingga 65% pendapatan isi rumah, iaitu perbelanjaan makan minum, pengangkutan dan perumahan.

“Memang diakui ada pihak yang layak diberikan bantuan, tetapi kalau betul-betul nak bantu, berilah bantuan dari segi barangan, diskaun atau adakan program meningkatkan pendapatan supaya mereka akhirnya keluar dari kategori B40,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu melihat semula pendapatan yang diperoleh golongan B40 secara menyeluruh.

“Apa yang perlu diketahui, tidak semua dalam golongan B40 orang susah. Golongan B40 di bandar tidak sama dengan di luar bandar, malah B40 iaitu jumlah 40% itu sudah tidak relevan. Sekarang ini kemungkinan hanya 20% berada di bawah paras kemiskinan. Ini tanggungjawab kerajaan mengkaji di tahap mana pendapatan yang selesa.

“Sebab itu, saya cadangkan kerajaan guna kaedah lebih tepat seperti mengadakan 3 kategori taraf hidup, iaitu keluarga, pasangan atau bujang. Kalau tidak, boleh adakan kategori lokasi atau zon tempat tinggal,” kata Azlan.
Pakar ekonomi, Noor Azlan Ghazali.
Kerajaan juga perlu lebih tegas dalam polisinya untuk benar-benar membantu golongan miskin dan menyalurkan bantuan kepada pihak yang layak.

“Garis pendapatan di beberapa tempat di negara ini sebenarnya adalah berbeza. Apa yang berbahaya adalah apabila kerajaan perlu menentukan sama ada mereka harus memberikan bantuan secara wang tunai atau tidak.

“Jadi polisi dan bantuan kerajaan perlu diubah, jangan sampai membantu orang yang sebenarnya tidak susah,” katanya.

Kata Azlan, kerajaan tidak sepatutnya berbangga apabila membantu sehingga 3 juta orang, sebaliknya perlu mencari jalan untuk mengurangkan rakyat berpendapatan rendah.

“Ini tanggungjawab kerajaan, iaitu memastikan anak-anak kepada golongan B40 memperoleh peluang meraih pendapatan selesa. Kita tidak mahu mereka berada dalam golongan B40 selama-lamanya,” katanya.

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) turut menggesa kerajaan mengkaji semula kriteria golongan B40 dan pertengahan (M40) berdasarkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Hasrat tersebut adalah bagi membantu kedua-dua golongan itu menjalani kehidupan lebih selesa.

Tiada ulasan: