HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Bekas pekerja akui ‘tertekan’ jadi suri rumah

Persepsi masyarakat yang sering menganggap menjadi suri rumah 
adalah mudah dan tidak memenatkan perlu diubah sama sekali. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika wanita itu pernah memiliki kerjaya sebelum ini.

Bekas pakar perunding, Hazdiana Bahari, mengakui pernah timbul rasa kesal dalam dirinya selepas berhenti kerja.

Hazdiana, 45, yang mesra dengan panggilan Dian berkata kerjayanya sebagai pakar perunding bagi membantu pembelajaran dan pembangunan pekerja di sebuah syarikat terkemuka di Malaysia, membuatkannya merindui kerjaya itu lebih-lebih lagi selepas 16 tahun bekerja.

“Keputusan untuk menjadi suri rumah merupakan satu keputusan yang sangat berat kerana ketika saya berhenti kerja, karier saya sebenarnya sedang berada di puncak.
Hazdiana Bahari.
“Tapi atas desakan yang tinggi, saya perlu memilih jalan tersebut bagi memastikan keluarga saya terjaga,” katanya kepada FMT.

Menceritakan perkara itu, Dian berkata keputusan berhenti kerja kerana kerjaya itu memerlukannya kerap bekerja di luar kawasan.

Perkara itu menjadi lebih sukar lebih-lebih lagi suaminya juga sering berada di luar negara atas urusan kerja.

Katanya, fokusnya pada ketika itu hanyalah kepada 5 anaknya yang masih belajar dan memerlukan perhatian daripadanya.

“Pada ketika itu pula saya alami kesukaran untuk mencari pembantu rumah bagi menguruskan rumah dan anak-anak saya. Jadi ia menyebabkan saya tidak boleh fokus dengan kerjaya saya dan buat keputusan untuk berhenti,” katanya.

Dian mula bekerja sejak 1997 sejurus pulang daripada melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di London dengan berbekalkan ijazah pertama dalam jurusan ekonomi dan sains politik.

Dia mula menjadi suri rumah sepenuh masa 5 tahun lalu ketika usianya mencecah 40 tahun.

Dian masih teringat tahun pertama beliau menjadi suri rumah, dia sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

“Masa tahun pertama jadi suri rumah saya memang sedih sebab tidak nampak apa-apa pencapaian dalam diri saya.

“Bila nak perkenalkan diri dengan orang luar pun saya rasa agak rendah diri untuk mengatakan saya adalah suri rumah.”

Dian berkata, persepsi masyarakat yang sering menganggap menjadi suri rumah adalah mudah dan tidak memenatkan perlu diubah sama sekali.

Mengakui dirinya kadang-kala tertekan dengan “kerjaya” barunya itu, Dian mengambil jalan untuk membentuk kumpulan sokongan bagi berkongsi masalah suri rumah.

Dian berkata kumpulan sokongan itu banyak membantu beliau untuk mendapatkan tips dan sokongan moral daripada mereka yang senasib dengannya.

“Kumpulan itu saya wujudkan sendiri di mana ia terdiri daripada rakan-rakan yang menuntut di universiti yang sama dengan saya dulu. Mereka ini semua macam saya, balik ke Malaysia, bekerja beberapa tahun dan kemudian menjadi suri rumah.

“Bila saya saya wujudkan kumpulan ini, ia sangat membantu saya dan rakan-rakan saya yang lain sebab di situlah saya banyak belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman menjadi suri rumah,” katanya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Suri Rumah Rahmah (SRR), 67% suri rumah yang berumur 45 tahun ke bawah berasakan cabaran paling besar dalam kehidupan suri rumah adalah pembangunan diri termasuk emosi serta imej dalam kalangan masyarakat.

SRR berkata persepsi yang mengatakan suri rumah tidak mempunyai tekanan hidup adalah tidak benar di mana golongan itu dianggap hanya duduk di rumah dan “tidak bekerja”.

Tiada sumber pendapatan

Seorang lagi wanita yang dahulunya bekerja dalam bidang media, mengakui kehidupannya berubah 360 darjah selepas menjadi suri rumah.

Zeanaaima Mohd Yusof, yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa selepas bekerja selama 9 tahun berkata pada awalnya dia gelisah dan tertekan selepas tidak lagi mempunyai sumber pendapatan yang tetap seperti sebelum ini.

Zeanaaima, 34, yang mesra dengan panggilan Kak Z berkata menjadi suri rumah memaksanya melupakan segala kehendak supaya 3 anaknya tidak mengalami sebarang kekurangan.
Zeanaaima Mohd Yusof.
“Saya berhenti bekerja pada Mei tahun lalu selepas syarikat yang saya bekerja tutup. Saya buat keputusan untuk tidak bekerja selepas itu dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Kak Z berkata, keputusannya menjadi suri rumah dibuat selepas mendapati dia kurang memberikan tumpuan dan masa kepada anaknya sepanjang tempoh bekerja.

“Masa saya kerja, anak-anak saya kurang mendapat perhatian saya. Pergi kerja pagi, balik dah malam dan anak-anak pun dah tidur. Saya agak sedih bila lihat mereka.”

Katanya, walaupun tertekan tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap, dia bagaimanapun tidak putus asa dan mencari pelbagai alternatif baru untuk membantu suaminya menjana pendapatan untuk keluarga.

Bermula dengan pergi ke kelas menjahit, Kak Z juga pergi ke kelas membuat kek.

“Sekarang saya dapat buat apa yang saya tak dapat buat dulu. Walaupun dah tak bekerja, namun saya ada mengambil tempahan kek selain membuat Grab untuk dapatkan duit poket sedikit,” katanya.

Bagi Kak Z, dia memahami keadaan apabila suri rumah mengalami tekanan mental. Namun katanya, perkara itu perlu diatasi dengan memikirkan anak-anak yang sedang membesar supaya mereka dapat diberikan kehidupan yang baik.

Katanya, suri rumah perlu “psycho” diri sendiri atau melakukan “self-motivation” supaya tekanan yang dialami mampu diatasi.

“Suri rumah tak boleh jadi katak bawah tempurung. Elakkan merasa diri kita tidak berguna, cuba gembirakan diri sendiri dengan buat benda yang kita suka.”

Tiada ulasan: