HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Januari 2019

Rakyat hukum Pakatan Harapan

Rakyat hukum Pakatan Harapan


KEKALAHAN mudah Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands kelmarin merupakan tamparan hebat buat gabungan parti pemerintah itu apabila tewas dengan majoriti lebih besar berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-4), 9 Mei tahun lalu.
Dalam PRK tersebut, calon BN, Ramli Mohd. Nor menang dengan majoriti lebih besar iaitu 3,238 berbanding calon parti itu dalam PRU-14, Datuk C. Sivarraajh yang meraih majoriti 597 undi.
Tewasnya PH di Cameron Highlands dilihat sebagai kuasa rakyat yang telah menjatuhkan hukuman terhadap kerajaan hari ini, lantaran gagal mentadbir negara dengan baik seperti yang diharap-harapkan.
PRK ini adalah satu referandum kecil yang bermaksud apa sahaja PH sajikan pada rakyat yang tidak dilunaskan, maka akibatnya PH dihukum dan ‘dibenamkan’.
Pelbagai faktor dikaitkan dengan kemenangan BN dan kekalahan PH sebagai parti pemerintah. Perkara yang paling utama dikaitkan kegagalan PH disebabkan sikapnya yang memungkiri janji-janji untuk membela nasib rakyat.
Ini kerana rakyat semakin merasai bebanan dengan pelbagai perkara seperti kos sara hidup yang semakin meningkat, harga minyak yang tidak memperlihatkan penurunan ketara, isu bayaran kepada peneroka Felda dan pelbagai perkara lain.
Orang Melayu juga sudah semakin hilang sabar dan tercabar melihatkan gelagat pemimpin PH yang menyentuh soal agama dan kaum secara terang-terangan.
Kebencian terhadap pemimpin PH sudah tidak dapat dibendung sehingga ia dinyatakan secara terbuka dalam beberapa insiden di sepanjang tempoh berkempen dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.
Umpamanya, seorang wanita warga emas meminta ‘surat lawyer’ daripada M. Manogaran ketika calon PH itu berkempen. Ia sebagai jaminan PH akan menunaikan janji untuk membawa pembangunan.
Ini jelas membuktikan rakyat sudah tidak percaya dengan apa yang dijanjikan oleh PH. Apatah lagi di DUN Jelai terdiri daripada peneroka Felda yang kini tidak lagi menikmati bayaran bulanan seperti mana yang diberikan oleh kerajaan BN sebelum ini.
Malah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dicemuh dan dihalau oleh orang ramai ketika berkempen dalam dua insiden berasingan di sepanjang kempen.
Kejadian itu bukanlah bersifat rasis tetapi ia adalah manifestasi betapa rakyat sudah tidak sanggup lagi dibohongi dengan janji-janji baharu PH sedangkan janji-janji semasa PRU-14 belum ditunaikan.
Bagi penyokong Pas pula, sokongan mereka terhadap BN pula berlandaskan kepada faktor kerajaan yang ada pada hari ini bukanlah dipimpin oleh Islam tetapi orang Islam dipergunakan dan ia perlu ditumbangkan.
Dalam membicarakan PRK Parlimen Cameron Highlands, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang sumbangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut membantu kempen BN. Beliau yang trending di media sosial dengan panggilan Bossku, banyak menarik golongan muda sehinggakan dua kali beliau ‘mendaki’ Cameron Highlands atas permintaan rakyat.
Ternyata aura Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut berkempen gagal mengatasi populariti Najib.
‘UMNO, BN kenanglah pengorbanan Pas’ 
KETIKA melayari Facebook untuk melihat reaksi warganet selepas BN memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands, penulis terjumpa satu rakaman video yang menarik perhatian.
Dalam rakaman video tersebut, terdapat tiga lelaki yang mendakwa merupakan penyokong tegar Pas di Sungai Koyan dalam DUN Jelai berkongsi pengalaman mereka pertama kali menyokong BN dalam PRK berkenaan.
Bagi mereka, Sabtu lepas adalah hari yang cukup bersejarah apabila mentaati arahan pucuk pimpinan parti agar memberi sokongan penuh kepada BN dan mereka cukup terharu dengan apa yang berlaku.
Mereka ternyata hiba apabila buat pertama kali dalam hidup membantu BN demi kemenangan Islam. 
Tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka untuk menyokong BN. Tetapi demi Islam, mereka sanggup berkorban. Malah ada yang sebak sehingga hendak keluar rumah ke pusat mengundi menitiskan air mata kerana ini adalah pengorbanan yang sangat besar.
Mereka tertanya-tanya adakah tindakan mereka betul menyokong BN. Namun mereka melakukannya demi kemenangan Islam. Bukan kerana sesiapa.
Tidak dinafikan, kemenangan Ramli kelmarin adalah atas sokongan Pas.
Apa yang berlaku 26 Januari itu adalah satu keajaiban, satu benda luar biasa. Kalau kita fikir, tak mungkin berlaku tapi disebabkan Islam dan taat kepada pemimpin, mereka akur membantu BN.
Kalau nak diikutkan hati, mereka berkata sebenarnya tak rela untuk menyokong BN. Tetapi mereka faham dasar Pas. Faham apa yang hendak dilakukan oleh pucuk pimpinan parti. 
“Bayangkan 60 tahun dah lawan UMNO ni, berkarat dah dalam hati ni, tapi kami boleh melaksanakannya. Jadi orang-orang UMNO ingat apa yang kami lakukan hari ini, pengorbanan kami ini,” kata seorang penyokong Pas.
Sewajarnya pengorbanan Pas perlu dikenang dan dihargai. Penyokong Pas meminta kepada BN. Jika mereka boleh melakukan perubahan dengan sanggup membantu BN, maka BN pun perlu buat benda yang sama supaya kedua-dua parti bersama-sama boleh menyatukan Islam.
Jelmakan semangat kerjasama Pas-UMNO dalam PRK Semenyih yang akan diadakan tidak lama lagi.
Bukan mudah untuk Pas menyokong BN malah kata seorang penyokong Pas, ‘kalau diikutkan hati, banyak yang terluka’ tapi demi Islam, ahli dan penyokong Pas melakukan juga. Mereka tidak pernah bermimpi perkara ini berlaku. Dedah seorang ahli Pas, mereka bertungkus-lumus membantu kempen BN dalam PRK Cameron Highlands selama sebulan di DUN Jelai dan tabah walaupun dicaci demi mentaati arahan pucuk pimpinan parti.

Tiada ulasan: