HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

GERAKAN KECEWA KENYATAAN PUAD ZARKASHI

Wartawan Watan-Online

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau mengakui kecewa dengan kenyataan Ketua UMNO Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang didakwa sebagai tidak sedar diri.

Dominic berkata Puad tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap Gerakan dan MCA pasca kejatuhan UMNO-Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Katanya kenyataan berbaur perkauman seperti dilontarkan Puad menjadi punca BN ditolak oleh rakyat pelbagai kaum pada PRU-14 lalu.

“Saya ingin mengingatkan Mohd. Puad bahawa Gerakan bukan berada di bawah BN. Oleh itu, atas kapasiti apa beliau boleh memberi arahan kepada kami supaya berbuat demikian? Ini adalah sebuah negara demokrasi yang memberi hak untuk memilih kepada semua.

“Kekalahan yang dialami oleh BN semasa PRU-14 kerana semua rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India bertindak menolak BN kerana mereka sudah bosan dengan gelagat sesetengah pemimpin yang sering mengunakan isu perkauman bagi meraih undi.

“Rakyat kini lebih berminat tentang isu ekonomi dan kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan mereka,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan Puad Zarkashi dalam kenyataan berkata MCA dan Gerakan jangan bersikap terlalu besar kepada dan perlu memberi ruang kepada UMNO untuk bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kemenangan.

Mengulas lanjut, Dominic memberi peringatan kepada semua pemimpin BN agar menghentikan segera sebarang kenyataan perkauman kerana boleh menambahkan kebencian rakyat terhadap mereka.

“Jika Puad betul-betul berpendapat dengan membuat kenyataan yang berbaur perkauman ini boleh mendatangkan undi dan kemenangan, beliau tidak akan kalah pada PRU-13 dan BN masih gagal memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat pada PRU-14 meskipun kawasan itu adalah kerusi majoriti Melayu,” katanya.


Tiada ulasan: