HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Jangan gaduh sesama sendiri, Daim nasihat menteri Kabinet

THE MALAYSIAN TIMES
 



SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin hari ini menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Beliau berkata meskipun difahami bahawa kesemua menteri Kabinet adalah baharu, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya mereka disarankan supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu-padu.

“Mereka (menteri Kabinet) memang baharu. Selama 50 tahun jadi pembangkang tetapi apabila menang (Pilihan Raya Umum ke-14) sama-sama, mereka masih bergaduh sesama sendiri.

“Saya sudah beritahu banyak kali, enam bulan bolehla jika hendak bergaduh. Kalau lepas tu masih nak bergaduh, lama-lama rakyat makin muak,” katanya pada program Luncheon Talk: Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan di Universiti Teknologi Mara, di sini.

Oleh itu kata beliau, adalah lebih elok sekiranya barisan menteri fokus untuk bekerja sebagai satu pasukan dengan penjawat awam dan pelbagai agensi di bawah kementerian masing-masing kerana mereka mempunyai kebolehan serta kelulusan yang baik.

“Ada menteri buat kerja tanpa minta pandangan. Apabila ini berlaku, penjawat awam ini akan lepas tangan. Ini antara punca mengapa banyak perkara gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Daim menyifatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan hampir 50 tahun lepas untuk memberi segala bantuan dan sokongan kepada kaum Melayu gagal mencapai matlamatnya apabila pada masa kini, majoriti daripada kaum itu masih ‘kais pagi, makan pagi’.

Beliau berkata kira-kira 75 peratus daripada golongan berpendapatan rendah (B40) terdiri daripada kaum Melayu yang masih bergantung kepada subsidi kerajaan untuk meneruskan hidup.

Disebabkan itu tegas beliau, sesetengah orang Melayu seharusnya bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka masih terkebelakang walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai polisi untuk membantu golongan tersebut.

Malah katanya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini diagihkan kepada rakyat juga telah menjadi ‘candu’ apabila terus ditagih kebanyakan masyarakat Melayu.

“Cash telah menjadi King. King itu mesti ada berbilion Ringgit…King menjadi penipu dan pencuri.
Sedangkan penyokong ‘kangkong’ terus menyokong King. Rakyat naik benci, cash ke mana, king ke mana.

“Rakyat mahukan pemimpin yang beramanah, bertanggungjawab, pentingkan rakyat dan negara.
Maka, pada 9 Mei 2018 (Pilihan Raya Umum ke-14), rakyat telah bebaskan rakyat dan rakyat merdeka semula,” katanya.

Tiada ulasan: