HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Kerjasama PAS dan UMNO ikut keperluan semasa – Mohd Amar

THE MALAYSIAN TIMES



KOTA BHARU: Kerjasama PAS dan UMNO ketika ini adalah mengikut keperluan dan perkembangan semasa sahaja, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata tidak timbul PAS akan terpalit dengan masalah yang berlaku dalam UMNO sebelum ini.

“Setakat ini kerjasama kita lebih kepada PRK sahaja… akan datang kita tidak tahulah. Kita ada plan jangka panjang dan dasar, jadi tindakan kita bergantung kepada perkembangan semasa.

“Macam baru-baru ini kita nampak ada keperluan dalam PRK Cameron Highlands jadi kita berkerjasama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa menyifatkan hubungan kedua-dua parti itu bukan lagi rahsia seperti mana yang selalu dinafikan.

Husam juga melihat langkah PAS menjalin kerjasama dengan UMNO tanpa asas yang jelas boleh menyebabkan perjuangan parti itu jadi sia-sia.

Katanya, PAS perlu memastikan hubungan kerjasama politik yang terjalin dengan UMNO ketika ini tidak menjadi seperti kerbau yang menyelamatkan buaya tersepit, akhirnya buaya yang makan kerbau.

Mengulas hasil kajian Ilham Centre yang PAS akan mendahului UMNO dan parti lain sebagai pelindung kepada isu Melayu dan Islam, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata ia satu perkembangan positif.

Katanya pengiktirafan itu menunjukkan masyarakat mula menyedari segala pendekatan dan usaha Pas yang mengamalkan dasar membangun bersama Islam selama ini.

Namun katanya dalam masa yang sama PAS perlu terus membuktikan ia sebuah parti yang membela Islam dan berupaya memberi kebaikan kepada semua termasuk bukan Islam.–Bernama


Tiada ulasan: