HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Januari 2019

Majikan digesa laksanakan segera garis panduan solat waktu kerja

Bernama
Majikan digesa laksanakan segera garis panduan solat waktu kerja
Pada 17 Jan lepas, Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja khususnya untuk pekerja swasta yang beragama Islam di seluruh negara. - Gambar hiasan
 

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan dan majikan diharap mematuhi segera pelaksanaan Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja yang dilancarkan baru-baru ini.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal dalam satu kenyataan berkata pihak pengurusan dan majikan tidak seharuskan memperlekeh pelaksanaan garis panduan itu yang merupakan satu perkara penting.

"Perkara ini telah tertangguh sekian lama dan sudah tiba masanya perkara ini diangkat sebagai satu perkara penting kerana isu solat ini kadang kala menjadi tanda tanya sama ada pekerja-pekerja itu boleh dibenarkan untuk menunaikan solat di waktu kerja atau sebaliknya," katanya.

Mohamed Shafie berkata jika garis panduan itu berjaya dilaksanakan, pekerja akan merasa selesa dan tidak teragak-agak untuk menjalankan tugas lebih cemerlang dan meningkatkan produktiviti.

Pada 17 Jan lepas, Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja khususnya untuk pekerja swasta yang beragama Islam di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerbitkan garis panduan berkenaan setelah perbincangan dan kajian antara kedua-dua pihak dijalankan sejak 2017.-- BERNAMA

Tiada ulasan: