Pemimpin politik termasuk agamawan diingatkan supaya tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan melampau terhadap wakil rakyat Paloh Sheikh Omar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof dengan melabelkan mereka sebagai musuh Islam atau musuh Allah.
Exco agama Kedah Ismail Salleh melalui kenyataan dari unit komunikasinya berkata, istilah tersebut dalam kecaman Islam merujuk kepada iblis dan para musyrikin dan memusuhi agama.
"Tak cukup dengan suuzzan buruk sangka yang melampau terhadap kerajaan Pakatan Harapan seperti yang dizahirkan oleh Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, ramai dari kalangan warga maya,
termasuk dari kalangan pimpinan parti politik dan golongan agamawan telah 'terlajak lidah' dengan melabelkan Sheikh Omar dan Mujahid sebagai 'musuh Islam' atau 'musuh Allah.'
"Apakah para warga maya termasuk agamawan dan pemimpin ingin menyatakan bahawa Mujahid dan Sheikh Omar adalah iblis atau mereka ingin memusyrikkan kedua-dua tokoh tersebut?
"Jangan mudah sangat dan jangan ringan lidah sangat!" kata kenyataan itu menerusi posting di akaun Facebook Mujahid.
Terdahulu, pelantikan Sheikh Omar sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim mendapat kritikan beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang yang bimbang dengan latar belakang beliau sebagai ahli DAP.
Bagaimanapun, Mujahid sebelum ini mempertahankan pelantikan itu daripada kritikan dan menjelaskan bahawa ia dibuat atas kelayakan Sheikh Omar.
Kenyataan itu turut berkata bahawa kritikan itu merupakan pemikiran yang bahaya kerana ia sepatutnya ditangani melalui hujahan dan bukannya emosi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan