HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Bendung pembaziran, didik masyarakat hargai air

Bernama
Bendung pembaziran, didik masyarakat hargai air
Jika kenaikan tarif air dilaksanakan, rakyat pasti mengharapkan hasil lebih baik termasuk tiadanya gangguan atau catuan bekalan air mahupun isu air tidak berkualiti dan kotor. - Gambar hiasan


SETIAP individu di Malaysia secara puratanya menggunakan lebih 200 liter air sehari.

Jumlah itu adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar purata penggunaan air yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 165 liter sehari bagi setiap individu.

Isu berhubung penggunaan air secara berlebihan oleh rakyat negara ini bukanlah perkara baharu malah sering dikaitkan dengan sikap masyarakat sendiri.

Pelbagai kempen kesedaran telah digembling pihak kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan tetapi, malangnya, masih belum cukup meninggalkan kesan apatah lagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Antara saranan yang biasa didengar ialah 'jimat dan hargai air', 'tutup paip semasa menggosok gigi' dan 'tutup pancuran air semasa menggunakan sabun ketika mandi'.

Ia mungkin dianggap sebagai pesanan ringkas dan mudah. Tetapi, berapa ramaikah antara kita yang berjaya mematuhi usaha menghargai sumber alam itu?

Adanya tarif murah, percuma

Berkongsi pandangannya, Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai tarif air paling rendah di dunia.

Kadar tarif air di negara ini adalah RM 0.52 sen bagi setiap meter padu berbanding negara jiran, Thailand yang mengenakan caj pada kadar lebih RM1 dan Singapura kira-kira RM3.

"Mungkin rakyat rasa air murah malah ada yang memperolehnya secara percuma. Jadi, bila sumber murah dan mudah didapati, rasa tanggungjawab pun kurang sekaligus membawa kepada pembaziran.

"Ia menjadi faktor kepada sikap tidak hemat masyarakat dalam menggunakan sumber berkenaan.

"Rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 210 liter air sehari. Ini bermakna setiap daripada kita telah membazirkan hampir 50 liter air, melebihi daripada apa yang disarankan. Bayangkanlah pembazirannya berdasarkan jumlah rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya tarif air di setiap negeri juga dikenakan pada kadar berbeza.

Rakyat Selangor menikmati 20 meter padu air secara percuma sejak Jun 2008 melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilaksanakan di negeri itu.
Di Pulau Pinang pula, purata tarif air domestik merupakan yang terendah di Malaysia iaitu pada kadar 32 sen setiap 1,000 liter namun, negeri itu juga merekodkan penggunaan air terbesar dalam negara dengan setiap individu secara puratanya menggunakan sehingga 280 liter air sehari pada 2017.

Rakyat mengharapkan bekalan air yang berkualiti. - Gambar hiasan
Rakyat mengharapkan bekalan air yang berkualiti. - Gambar hiasan

Bendung pembaziran

Baru-baru ini Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan tahun ini bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri air daripada aspek perkhidmatan.

Sekiranya dilaksanakan, kenaikan itu akan dibuat secara berperingkat dan dijangka tidak membebankan rakyat.

Kerajaan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga akan berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum ia dilaksanakan.

Namun, cadangan menaikkan tarif air itu disambut dengan pelbagai reaksi termasuk kebimbangan bahawa ia akan membebankan rakyat.

Ini kerana, rakyat sedang berusaha menangani peningkatan kos sara hidup yang merangkumi kenaikan harga barang dan perkhidmatan lain.

"Saya melihat langkah ini sebagai kaedah untuk mendidik rakyat agar menggunakan air secara berhemat. Pembaziran yang berlaku memang ada kaitan dengan kos. Kita dah buat macam-macam kempen tapi masih lagi orang tak hargai sebab mereka rasa air murah.

"Kita lihat rakyat boleh bayar bil telefon, bil elektrik dan pelbagai bil lagi. Tapi bila kerajaan mahu menaikkan kadar tarif air, ramai yang bising tidak bersetuju walaupun untuk kebaikan," kata Xavier.

Sikap jadi punca

Sekiranya kenaikan tarif air dilaksanakan, rakyat pasti mengharapkan hasil lebih baik termasuk tiadanya gangguan atau catuan bekalan air mahupun isu air tidak berkualiti dan kotor.

Pada masa sama, rakyat juga tidak perlu ragu untuk minum air terus daripada paip kerana yakin ia selamat walaupun telah ditekankan sebelum ini bahawa kualiti air paip Malaysia sudah melalui proses saringan dan pembersihan di loji tapisan serta selamat diminum.

Yang Farina berkata 'pulangan' bagi kenaikan tarif air haruslah sebegitu tetapi ia tetap berbalik kepada sikap masyarakat sendiri.

"Bila kita sebut nak air yang berkualiti, ia sebenarnya berbalik kepada rakyat. Lihatlah sungai kita, berapa banyak yang tercemar? Contohnya di kawasan Selangor, Loji Rawatan Air (LRA) Langat dan LRA Semenyih sudah beberapa kali ditutup akibat pencemaran bau yang berlaku di Sungai Semantan dan Sungai Semenyih. Siapa yang buat kalau bukan masyarakat?

"Penutupan loji akan mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan berdepan gangguan bekalan air. Saya dapati banyak pencemaran berlaku di Sungai Langat kerana masyarakat sesuka hati membuang sampah termasuk minyak ke dalam sungai," katanya.

Menurutnya barang-barang yang dibuang ke dalam saluran longkang juga akan 'sampai' ke sungai sekali gus menjejaskan sumber bekalan air minuman.

Mengulas isu air paip tidak bersih dan berwarna kuning, beliau berkata ia bukan disebabkan tidak dirawat dengan baik tetapi berpunca daripada penggunaan paip yang sudah lama, bocor atau sebab lain.

"LRA mempunyai kawalan kualiti yang sangat ketat dan diletakkan di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan dengan 42 parameter yang ditetapkan. Justeru itu, apabila air dirawat dan keluar dari loji, ia memang mempunyai kualiti yang sangat tinggi.

"Tetapi, lama-kelamaan paip menjadi usang. Akibatnya, ada kebocoran dan akan dimasuki tanah atau bahan lain...inilah yang menyebabkan air menjadi kuning," katanya.


Jika kita tahu akan nilai setiap titik air yang bersih, masihkah kita hendak membazir? - Gambar hiasan
Jika kita tahu akan nilai setiap titik air yang bersih, masihkah kita hendak membazir? - Gambar hiasan

Lebih banyak penyelidikan

Cadangan kenaikan tarif air turut memberi peluang kepada agensi terlibat menjalankan lebih banyak penyelidikan dan program kemasyarakatan bagi mendidik dan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu air.

Ini kerana pada masa ini, dengan kadar tarif air yang murah, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh syarikat konsesi.

Mengenai bahan-bahan pencemar yang semakin banyak, Yang Farina berkata penyelidikan oleh universiti tempatan menunjukkan kehadiran bahan pencemar yang bukan sahaja menjejaskan air laut malah sungai serta seluruh ekosistem termasuk hidupan darat.

"UKM telah menjalankan penyelidikan ke atas air sungai bagi melihat kesan produk farmaseutikal dan kita menemukan sisa paracetamol. Ramai yang mengambil paracetamol sebagai ubat sakit kepala atau ubat menahan sakit. Paracetamol tidak seratus peratus diserap badan sebaliknya akan dikeluarkan melalui urin dan ia tidak boleh dirawat (jika masuk ke loji) kerana kaedah rawatan air kita masih konvensional," katanya.

Menurutnya Malaysia kini mengaplikasikan kaedah rawatan konvensional kecuali di LRA di Kelantan yang menggunakan kaedah rawatan ozon untuk merawat air.

Teknologi terkini yang tidak menggunakan bahan kimia itu melibatkan LRA Pintu Geng, LRA Kampung Chap (Bachok), LRA Perol, LRA Wakaf Bharu dan LRA Merbau Chondong (Machang).

Yang Farina berpendapat dalam usaha mendapatkan kualiti air yang baik, pihak berkenaan perlulah melakukan lebih banyak kajian dan penyelidikan untuk mengetahui apa yang terdapat di dalam sungai selain menambah baik kaedah rawatan bagi memperoleh air yang selamat dan berkualiti.

Akta Air Minum Selamat

Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) T. Saravanan pula berkata meskipun segelintir rakyat 'melatah' dengan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan termasuklah cadangan kenaikan tarif air, masih ramai yang memahami peri pentingnya kenaikan itu untuk jangka masa panjang.

"Tarif air perlulah dinaikkan di setiap negeri bagi memperkasa minda bahawa air adalah amat berharga dan tidak ternilai. Kita patut menghargai air.

"Air minum yang selamat adalah keperluan asas bagi mengekalkan kesihatan awam dan menyokong usaha mewujudkan masyarakat sihat. Oleh itu, mekanisme sewajarnya mesti dilaksanakan untuk memastikan adanya air minum yang selamat demi melindungi kesihatan awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya diperkenalkan akta berkaitan air minum yang selamat bagi melindungi orang awam daripada ancaman kesihatan akibat penggunaan air minum yang tidak mematuhi tahap kualiti yang ditetapkan.

"Sejak 2003, Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa diwujudkan Akta Air Minum Selamat untuk memastikan pengguna mempunyai akses kepada air yang selamat dan melindungi bekalan air minum awam di seluruh negara. Undang-undang ini perlu mempunyai pengawal selia yang bertanggungjawab untuk menetapkan standard kesihatan minimum bagi air paip dan memastikan semua pemilik atau pengendali sistem air awam mematuhi piawaian ini.

"Pertubuhan Bangsa Bersatu juga menganggap akses kepada air bersih adalah hak asasi manusia sejagat dan merupakan langkah penting bagi meningkatkan taraf hidup di seluruh dunia. Oleh itu, kerajaan mestilah memastikan air yang selamat dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Sehingga kini, kebanyakan kerajaan negeri sudah menyatakan persetujuan untuk menaikkan tarif air tahun ini.

Kadar kenaikan itu bagaimanapun masih dalam perbincangan memandangkan setiap negeri mempunyai kadar tarif berbeza termasuk ada yang tidak pernah menyemaknya selama berpuluh-puluh tahun.

Tiada ulasan: