HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Januari 2019

115 inisiatif digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Sebanyak 115 inisiatif di bawah enam bidang keutamaan digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) sebagai usaha komited ke arah negara bebas rasuah.

Enam keutamaan yang difokuskan dalam pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini ialah tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang serta tadbir urus korporat.

Ia bagi memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, mempertingkat keberkesanan dan ketelusan perolehan awam, mempertingkat kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, serta memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat.

Jumlah 115 inisiatif itu merangkumi 30 inisiatif jangka pendek yang bakal dilaksanakan pada Januari hingga Disember 2019, 31 inisiatif jangka sederhana (Januari 2019 hingga Disember 2020) serta 54 inisiatif lagi adalah untuk jangka masa panjang iaitu Januari 2019 hingga Disember 2023.

Sebanyak 22 inisiatif daripada 115 keseluruhan telah dikenal pasti untuk diberi keutamaan berdasarkan keperluan kesegeraan untuk menangani rasuah.

Antara inisiatif tersebut adalah memperkenalkan rang undang-undang baharu berkaitan pembiayaan politik termasuk melobi, memperkenalkan sistem pengisytiharan harta anggota pentadbiran dan parlimen serta memperkenalkan Arahan Perdana Menteri dalam pengurusan had bidang kuasa antara menteri dan ketua setiausaha.

Selain itu, menguruskan penglibatan dan pelantikan pegawai kanan kerajaan sebagai ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif di semua syarikat berkepentingan kerajaan dan badan berkanun serta memperkenalkan garis panduan yang telus dalam pelantikan pegawai khas, setiausaha politik, setiausaha sulit dan setiausaha media kepada semua menteri dan timbalan menteri.

Semua agensi dan agensi kawal selia juga akan dipastikan untuk melaksanakan projek berdasarkan nasihat dan cadangan yang dikemukakan oleh jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya dan agensi teknikal yang berkaitan.

Pelan itu juga bakal memastikan pengasingan kuasa yang jelas dan memartabatkan keadilan, iaitu kuasa Pendakwa Raya hendaklah diasingkan daripada tugas Peguam Negara dan memberi keutamaan supaya kes rasuah didengar oleh hakim dan diuruskan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang berpengalaman dan dilatih dalam menguruskan kes rasuah.

Antara lain, menyepadukan agensi berkaitan yang bertanggungjawab dalam mengurus kawalan sempadan bagi memastikan pengurusan sempadan yang berkesan serta menambah baik sistem pengurusan pekerja asing berpusat dengan cara memperkemas dan menyepadukan sistem permohonan pekerja asing atas talian sedia ada.

Pendekatan bersyarat akan dikenakan dalam penggunaan dana kerajaan ke atas semua badan berkanun, syarikat milik kerajaan (SOEs) dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) yang ditubuhkan kerajaan, selain memperkenalkan sistem tapisan integriti dalam pemilihan pengurusan tertinggi dalam badan berkanun, SOEs dan CLBG.

Kerangka Pelan Antirasuah Nasional juga secara umumnya mengenal pasti tiga misi penting yang akan menyumbang kepada keberkesanan usaha pembanterasan rasuah negara dengan cara menegakkan kedaulatan undang-undang, penstrukturan semula sistem perkhidmatan awam bagi memupuk konsep tadbir urus baik dan berintegriti dalam persekitaran perniagaan.

Menurut dokumen pelan tersebut, berdasarkan analisis terhadap lebih daripada 20,000 maklumat berkaitan rasuah yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2013 hingga 2018, sebanyak sembilan punca rasuah dikenal pasti.

Lebih daripada 80 peratus daripada aduan rasuah adalah berpunca dari empat punca utama yang telah diambil kira dalam membangunkan strategi dan inisiatif pelan tersebut.

Empat punca utama itu adalah kegagalan pentadbiran (manipulasi terhadap sistem dan prosedur), konflik kepentingan (kuasa budi bicara, kuasa mutlak dan campur tangan politik), kelemahan kawalan dalaman dan ketidakpatuhan, serta kurang ketelusan.–Bernama

Tiada ulasan: