MALAYSIAKINI
Amanah Sabah menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin mempertimbangkan pembinaan balai bomba di pulau terbesar negara, Pulau Banggi di Kudat, Sabah.
Malah, kata penyelarasnya, Khairuddin Daud, cadangan berkenaan sudah dibangkitkan pihak bomba sejak dua tahun lalu.
"Maka, adalah wajar, berdasarkan kepakaran anggota bomba dalam menilai keperluan membina balai bomba dan fasiliti lain, menteri membuat pertimbangan sewajarnya untuk membina balai bomba di Pulau Banggi.
"Tambahan pula, kali terakhir balai bomba siap dibina di daerah Kudat adalah pada tahun 1973, iaitu kategori C. Justeru adalah wajar bilangan balai bomba dan anggota bomba ini ditambah," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Khairuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zuraida semalam bahawa kerajaan tidak bercadang membina balai bomba di pulau dengan populasi 22,000 orang itu kerana ia "tidak mempunyai kelayakan".
Sebaliknya, Zuraida berkata kerajaan menggalakkan penduduk setempat menubuhkan pasukan bomba sukarela sendiri yang akan diberikan latihan serta peralatan asas bagi menjalankan tugas.
Balai bomba kelas rendah
Mengulas insiden kebakaran itu, Khairuddin berkata, ketika kejadian itu, anggota bomba dari tanah besar Kudat terpaksa dikerahkan ke Pulau Banggi menggunakan bot yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan untuk memadam kebakaran.
"Kemudahan bomba sukarelawan seperti jentera bomba dapat dilihat jelas tidak dapat digunakan sewaktu kebakaran berlaku pada 13 Januari 2019.
"[..] Lebih melukakan, kemudahan mencegah kebakaran seperti pemadam api, ‘emergency button’, ‘hose reel’, pengesan asap dan sebagainya, yang terdapat di Klinik Kesihatan Pulau Banggi rosak dan gagal berfungsi
"Sekiranya kebakaran berlaku di satu-satunya klinik di Pulau Banggi, adakah perlu menunggu bomba daripada tanah besar Kudat datang untuk memadam kebakaran?" katanya.
Khairuddin bagaimanapun mengalu-alukan cadangan Timbalan Menteri KPKT, Raja Kamarul Bahrin Shah agar setidaknya balai bomba kelas rendah dibina di pulau itu.
"Pengumuman Timbalan Menteri KPKT, Raja Kamarul Bahrin Shah lebih melegakan apabila mencadangkan untuk membina balai bomba kategori E susulan insiden kebakaran ini.
"Gesaan yang sama juga sudah dibuat oleh Adun Banggi Mohammad Mohamarin, merangkap pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, sejurus selepas insiden kebakaran ini berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan