HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Januari 2019

Menteri PH ada 'WhatsApp Group', kata Muhyiddin

 
   

Mengulas sindiran bekas perdana menteri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) mempunyai 'WhatsApp group'.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sindiran Najib bahawa menteri PH tidak mempunyai WhatsApp group untuk berkomunikasi.

'WhatsApp group' merupakan aplikasi yang sering digunakan bagi sesuatu organisasi untuk membincangkan sesebuah perkara secara dalaman.

"Kita ada WhatsApp (group)," katanya ringkas.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan buku Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad yang bertajuk 9 Mei 2018 - Dari Garis Depan di Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, dalam satu kenyataan di Facebook, Najib yang kini digelar 'Raja Troll' memuat naik tangkap layar laporan berita yang memetik Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai terkejut dengan pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi berhubung penamatan kontrak pemaju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Betullah, mereka tak ada WhatsApp group. Tapi sejak tahun 1876 dah ada telefon," kata Najib yang berkongsi nombor telefon pejabat kedua-dua menteri kabinet PH itu.

"Sekurang-kurangnya telefon lah sekali sekala," sindir Najib.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung mesyuarat Kabinet Khamis lalu yang dikatakan membincangkan keputusan berhubung projek ECRL.

'Elok jangan ada kenyataan bercanggah'

Muhyiddin sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada kementerian yang berkaitan dan percaya kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Supaya tak jadi lebih banyak confusion (kekeliruan)wajarnya kita jangan buat apa-apa komen, serahkan pada pihak budi bicara menteri yang bertanggungjawab.

"Dua kementerian tu memang berkaitan tapi siapa yang lebih diberikan tugas tu, saya serahkan pada mereka untuk memutuskan.

"Tapi seelok mungkin jangan ada kenyataan bercanggah, lebih-lebih lagi kalau keluar dari ahli jemaah menteri.

"Saya bercakap sebagai orang lama dalam kerajaan dulu, sebab tu saya fikir sesuai saya tak keluar apa-apa komen," katanya.

Pagi ini, Azmin memberitahu pemberita bahawa kabinet dalam mesyuarat pada Khamis memutuskan untuk membatalkan projek ECRL kerana faedah tahunannya yang tinggi.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbar yang lain, Lim menyatakan rasa terkejut terhadap pengumuman Azmin.

Beliau mengatakan Azmin mungkin tidak dimaklumkan tentang perkara-perkara tertentu yang telah diputuskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


Tiada ulasan: