HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Januari 2019

BN menang kerana PH gagal laksana manifesto - Pemuda UMNO Kelantan

Astro Awani 
BN menang kerana PH gagal laksana manifesto - Pemuda UMNO Kelantan
Menurut Noor Hariri, kemenangan Ramli turut dipacu kerja keras jentera kedua-dua BN dan Pas dalam usaha menumbangkan calon PH. - Gambar fail
 

KUALA LUMPUR: Kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dianggap simbol kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan manifestonya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ia sekali gus memberi isyarat yang jelas bahawa majoriti Melayu dan Bumiputera sudah mula menolak kerajaan PH.

"Penolakan itu berkemungkinan disebabkan oleh kegagalan PH melaksanakan segala manifesto yang telah termaktub dalam Buku Jingga PH.

"Saya yakin dan percaya penolakan ini akan terus berlaku pada PRK Semenyih nanti kerana kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PH semakin terhakis.

"Penolakan berpunca daripada sikap kerajaan PH yang sentiasa berbohong kepada rakyat membuatkan mereka mula meluat. Perkara ini diterjemahkan secara terang-terangan dengan menolak calon PH di Cameron Highlands,” katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.
 
BACA: Calon Semenyih perlu ikut kaedah di Cameron Highlands

BACA: 
Kerjasama dengan Pas penyumbang kemenangan BN - Tok Mat

Pada PRK tersebut Sabtu lalu, BN menerusi calonnya, Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C Sivarraajh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Ramli mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH, M Manogaran yang mendapat 8,800 undi.

Sementara itu, dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib mendapat 314 undi manakala Wong Seng Yee, 276 undi.

Noor Hariri juga tidak menolak kemenangan itu berasaskan faktor parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan Pas, menjadi titik mula kepada kemenangan calon BN.

Selain itu, jelasnya, kemenangan itu turut dipacu kerja keras jentera kedua-dua parti termasuk Pemuda dalam usaha menumbangkan calon PH.

“Saya harap kerjasama ini akan berterusan bagi memastikan kerajaan PH dapat ditumbangkan sekali lagi pada PRK Semenyih nanti," tegasnya.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung dan dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.

PRK Semenyih pilihan raya kecil keempat diadakan di Selangor selepas PRU14. Tiga PRK sebelum ini ialah di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Tiada ulasan: